TOPRAK Razgatlioglu Buru Hatrik Di Most

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

5/16/20251 min read

PELUMBA BMW Motorrad, Toprak Razgatlioglu mengakui sekali pun memiliki rekod cemerlang di Most, Republik Czech, ia tidak bermakna dia memiliki kelebihan terutama pada musim ini.

Daripada 12 perlumbaan yang sudah berlangsung di Most, penyandang juara dunia WorldSBK itu bergelar juara sebanyak lapan kali dengan tiga penamat sebagai naib juara.

Satu-satunya perlumbaan yang menyaksikannya meninggalkan litar itu tanpa sebarang mata adalah pada 2023 berikutan masalah tayar.

Razgatlioglu pada musim ini tiba di Most dengan menghuni tangga ke-2 carta kedudukan pelumba WorldSBK dan ketinggalan 34 mata di belakang pendahulu, Nicolo Bulega daripada Ducati.

Justeru sekali pun dia memiliki rekod cemerlang, pelumba bintang Turki itu menyatakan ia tidak lagi relevan pada musim ini tetapi ia tidak menghalang daripada meletakkan sasaran setinggi gunung.

"Sasaran saya pada minggu ini adalah tiga kemenangan," kata Razgatlioglu kepada WorldSBK.com. "Tetapi keadaan cuaca mungkin sedikit sukar kerana nampaknya akan ada hari akan turunnya hujan.

"Tetapi apapun, saya sudah bersedia dengan apa saja. Saya hanya menunggu pada minggu ini."

Pembekal tayar rasmi WorldSBK, Pirelli menyatakan Most sebagai salah satu daripada dua perlumbaan yang paling mencabar dari sudut penggunaan tayar di kejuaraan itu.

Justeru, pengeluar tayar itu turut memperuntukkan tayar jenis keras luas biasa di Most tanpa tayar belakang jenis SCX, hanya tayar standard SC0, pembangunan SC0 dan pembangunan SC1.

"Saya amat gembira kerana saya menggemari litar ini dan kami secara normalnya amat kuat (di sini)," kata Razgatlioglu. "Tetapi tahun ini tidak seperti tahun lalu, segala-galanya berbeza.

"Jumaat amat penting. Saya harap perasaan saya dengan jentera bagus kerana saya memerlukan pelarasan yang baik untuk perlumbaan kerana kami menggunakan tayar belakang SC1, ia tayar yang lebih keras (berbanding biasa).

"Pada tahun lalu kami mengharungi minggu yang amat bagus, saya berharap pada minggu ini kami akan bersaing untuk meraih kemenangan."