TOPRAK Razgatlioglu Cipta Hatrik Di Portimao
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
3/30/20251 min read


PELUMBA ROKiT BMW Motorrad, Toprak Razgatlioglu seperti sudah melupakan kekecewaan di Australia apabila mencetak kemenangan hatrik di Pusingan 2 WSBK 2025 di Portimao, Portugal.
Selepas muncul pemenang Perlumbaan 1 pada Sabtu, pelumba bintang Turki itu meneruskan rentak baiknya apabila menjuarai Perlumbaan Superpole diikuti Perlumbaan 2 pada Ahad.
Dan 'mangsanya' yang sekali lagi terpaksa berpuas hati menamatkan perlumbaan sebagai naib juara adalah pelumba Aruba.it Racing Ducati, Nicolo Bulega.
Bulega sebelum ini turut menamatkan Perlumbaan 1 dan Perlumbaan Superpole sebagai pemenang tempat kedua.
Melengkapkan kedudukan podium pada Perlumbaan 2 adalah rakan sepasukan Bulega, Alvaro Bautista.
Seperti dua perlumbaan awal, Razgatlioglu dan Bulega seperti bertarung sesama sendiri sebelum bendera merah dikibatkan susulan kemalangan membabitkan pelumba Pata Yamaha, Jason O'Halloran.
Situasi tidak berubah selepas perlumbaan dimulakan semula dengan Razgatlioglu dan Bulega terus bersaing sesama sendiri menggunakan kelebihan masing-masing.
Tetapi kesilapan yang dilakukan oleh Bulega pada selekoh pertama pusingan terakhir memberikan Razgatlioglu kelebihan dan melepasi garisan penamat dengan kelebihan 0.195 saat.
Tempat ke-4 menjadi milik pelumba Yamaha, Andrea Locatelli manakala rakan sepasukan Razgatlioglu, Michael van der Mark melengkapkan kedudukan lima terbaik.
Pelumba negara, Mohd Zaqhwan Zaidi dari pasukan PETRONAS MIE Honda Racing hampir menamatkan perlumbaan dalam kedudukan mata sebelum melepasi garisan penamat di tempat ke-16.
