TOPRAK Razgatlioglu Cipta Rekod Baharu Di Portimao

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

8/11/20241 min read

TOPRAK Razgatlioglu berterusan meletakkan namanya sebagai pemegang rekod baharu dalam kancah perlumbaan WorldSBK selepas menampilkan penguasaan penuh pada Pusingan 7 WSBK 2024 di Portimao, Portugal.

Selepas mencatat kemenangan agak selesa pada Perlumbaan Superpole yang juga kemenangan ke-12 berturut-turut dan juga rekod baharu, pelumba kelahiran Turki itu melanjutkan deretan kemenangannya dengan memenangi Perlumbaan 2.

Selain 13 kemenangan berturut-turut yang memecahkan rekod 11 kemenangan berturut-turut sebelum ini, ia juga adalah kemenangan hatrik ke-4 buat pelumba pasukan ROKiT BMW Motorrad itu.

Pada Perlumbaan Superpole, pelumba kelahiran Turki itu berkongsi podium bersama pelumba pasukan Barni Spark Racing Ducati, Danilo Petrucci dan pelumba Kawasaki Racing, Alex Lowes.

Berlangsung lebih mengujakan, Perlumbaan 2 menyaksikan Razgatlioglu dipaksa bekerja keras sebelum menang dengan cabaran yang dihadirkan Lowes, Nicolo Bulega dan Alvaro Bautista.

Ketinggalan di awal perlumbaan, Razgatlioglu berjaya bangkit namun bergelut untuk memintas Lowes sehingga mengakibatkan 'Sayap' jenteranya patah.

Selepas berjaya memimpin perlumbaan, juara dunia WorldSBK itu sentiasa dihambat pelumba di belakangnya termasuklah Bautista yang kemudian terjatuh ketika perlumbaan berbaki beberapa pusingan.

Tetapi tugas itu diambil Bulega yang menghambat Razgatlioglu sehingga garisan penamat dengan hanya 0.035 saat memisahkan antara juara dan pemenang tempat kedua.

Sekali lagi melengkapkan kedudukan podium adalah pelumba kelahiran Great Britain, Lowes.

Dalam pada itu, penampilan pelumba negara Hafizh Syahrin Abdullah secara 'Wildcard' tidak memberikannya keputusan dalam kelompok pungutan mata.

Selepas menamatkan Perlumbaan Superpole di kedudukan ke-20, pelumba pasukan JDT Racing Team yang menunggang jentera Ducati Panigale V4R itu terjatuh pada Perlumbaan 2 sekaligus menghuni kedudukan terakhir.

Sementara itu, tiada kelibat pelumba negara Adam Norrodin pada Perlumbaan Superpole dan Perlumbaan 2 selepas disahkan tidak cergas untuk berlumba susulan masalah kesihatan.