TOPRAK Razgatlioglu Dah Mula Tunggang Macam 'Taro'!
Kenyataan itu disuarakan Borsoi selepas Toprak Razgatlioglu selesai mengharungi 6 pusingan perlumbaan musim ini, selain menamatkan sesi ujian rasmi terakhir bagi jentera 1000 cc MotoGP di Litar Barcelona-Catalunya
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
5/20/20261 min read


BOS Pramac Yamaha, Gino Borsoi berharap peminat kepada pelumbanya, Toprak Razgatlioglu untuk bersabar dan memberi masa kepada juara dunia WorldSBK tiga kali itu untuk mencari rentak sebenar bersama jentera MotoGP.
Borsoi yang juga Pengurus Pramac Racing menyuarakan pandangannya selepas pelumba kelahiran Turki itu selesai mengharungi 6 pusingan MotoGP pada musim ini, selain menamatkan sesi ujian rasmi terakhir bagi jentera 1000 cc MotoGP di Litar Barcelona-Catalunya, semalam.
Sesi ujian itu bagaimanapun terpaksa ditamatkan lebih awal pada tengah hari berikutan hujan lebat. Situasi itu jelas tidak ideal dan merencatkan jadual padat pasukan Pramac Yamaha yang merancang ujian intensif untuk Razgatlioglu di Montmelo.
Walaupun tempoh ujian yang terhad, Borsoi kekal positif dan dapat melihat peningkatan Razgatlioglu, biarpun pelumba itu masih belum menemui gaya tunggangan yang benar-benar serasi untuk jentera prototaip kelas perdana itu.
"Saya sama sekali tidak akan katakan dia menunggang dengan teruk; dia cuma menunggang dengan cara yang berbeza—iaitu cara yang selalu dia gunakan ketika di SBK," kata Borsoi memetik laporan GPOne.
"Bukan mudah untuk melakukannya (ubah gaya tunggangan) ketika perlumbaan. Jika anda mahu ubah gaya tunggangan, anda terpaksa kehilangan masa, dan tiada pelumba yang mahu berbuat demikian.
"Kini Toprak memulakan pendekatan baharu. Agak malang buatnya kerana dia perlu mengambil dua langkah ke belakang terlebih dahulu sebelum boleh mara empat langkah ke hadapan sebaik sahaja semuanya menjadi serasi," katanya.
Malah Borsoi mendedahkan pasukannya sudah mula melihat bibit-bibit kejayaan hasil daripada usaha keras pelumba itu berdasarkan data yang diperoleh di atas litar.
"Jika kita melihat kepada data, anda boleh lihat di banyak selekoh dia sudah mula tahu menunggang menyamai gaya Fabio Quartararo. Potensinya amat jelas di situ; kita cuma perlu bersabar dan berikan dia ruang untuk menyesuaikan gaya tunggangannya dengan kategori baharu ini," kata Borsoi.

