TOPRAK Razgatlioglu Dapat 'Lampu Hijau' Beraksi di Aragon

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

9/26/20241 min read

TOPRAK Razgatlioglu akhirnya diberikan pelepasan untuk beraksi di Pusingan 10 WSBK di Aragon, Sepanyol tetapi penampilannya secara 'penuh' hanya ditentukan selepas pelumba Turki itu mula menunggang jenteranya ketika sesi ujian pertama.

Apa yang berlaku kepada Razgatlioglu adalah sama seperti dilalui pelumba Ducati, Alvaro Bautista pada pusingan di Cremona, Itali sebelum ini dengan pelepasan hanya diberikan oleh pasukan perubatan selepas penilaian lanjut.

Menurut pasukannya, Razgatlioglu diberikan pelepasan oleh pasukan perubatan WSBK untuk mengambil bahagian di Aragon.

Tetapi dia perlu melalui ujian susulan untuk menilai sama ada keadaan fizikalnya membenarkannya untuk meneruskan atau tidak.

Di Cremona, Bautista yang turut berdepan situasi sama meraih podium pada Perlumbaan 1 dan 2 sekalipun memulakan perlumbaan di petak ke-13.

Razgatlioglu ketika ini membawa kelebihan tipis 13 mata di puncak carta kejuaraan menuju pusingan di Aragon.

Selepas kemalangan ngeri di Magny-Cours ketika sesi latihan yang mengakibatkannya mengalami masalah membabitkan bahagian paru-paru, Razgatlioglu terlepas dua pusingan secara total.