TOPRAK Razgatlioglu Dedah Turki Dah Sedia Anjur MotoGP, Tapi Lebih Baik Pada 2027
MotoGP tidak 'beraksi' di Istanbul Park sejak 2007 dengan Turki bermula tahun depan akan mempunyai wakil di kejuaraan berpretij itu menerusi Toprak Razgatlioglu bersama Yamaha
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
12/8/20251 min read


PENAMPILAN pelumba sensasi Turki, Toprak Razgatlioglu di pentas MotoGP musim depan meningkatkan spekulasi yang GP Turki boleh kembali disenarai kembali ke kalendar kejuaraan motosikal berprestij itu.
MotoGP tidak 'beraksi' di Istanbul Park sejak 2007 tetapi Razgatlioglu memetik laporan Speedweek.com mengakui yang ia sudah bersedia.
Tetapi kata juara dunia tiga kali WorldSBK itu, adalah lebih baik kejuaraan itu kembali ke Turki pada 2027, bukan pada tahun pertamanya iaitu musim ini ketika beberapa perubahan besar berlaku termasuk penukaran sesaran enjin dan tayar dari Michelin kepada Pirelli.
"Permukaan litar adalah baharu, segala-galanya sudah bersedia," kata Razgatlioglu. "Ia pasti sesuatu yang cukup baik untuk saya, tetapi mungkin pada tahun 2027. Bukan pada tahun pertama saya.
"Kalau boleh pada 2027 (GP Turki) kerana ia adalah perlumbaan di laman sendiri, dan saya perlu mendapat podium di sana."
Dalam pada itu, Razgatlioglu secara berseloroh berkata penampilannya di pentas MotoGP pada musim depan membuatkannya menjadi lebih terkenal di negara kelahirannya Turki.
Untuk negara yang 'menggilai' bola sepak, sukan permotoran kata Razgatlioglu semakin mendapat perhatian selepas dia sah menyertai MotoGP.
"Semua orang amat gembira (di Turki)... Saya menjadi lebih terkenal," kata Razgatlioglu memetik laporan Crash. Kini semua orang mengenali saya... Ini adalah bagus untuk sukan (permotoran) kerana di Turki, bola sepak adalah segala-galanya, tetapi ia mula berubah sedikit.
"Saya berharap akan mendapat kejayaan di MotoGP dan sukan permotoran akan menjadi lebih (besar) di Turki."

