TOPRAK Razgatlioglu Gemar Balaton Park, Akui Tertekan Nak Menang
Pelumba bintang Turki, Toprak Razgatlioglu berpeluang untuk mengukir satu lagi sejarah di pentas WorldSBK pada Pusingan 8 di Hungary yang berlangsung di Balaton Park
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
7/25/20251 min read


TOPRAK Razgatlioglu tiba di Balaton Park, Hungary bagi menghadapi Pusingan 8 Kejuaraan Superbike Dunia (WSBK) 2025 sebagai pendahulu kejuaraan selain peluang untuk mencetak namanya dalam sejarah kejuaraan berkenaan.
Sekali pun tidak pernah berlumba di litar berkenaan, tetapi pelumba pasukan BMW Motorrad itu bersama beberapa pelumba WorldSBK lain berpeluang untuk mengujinya pada bulan lalu menggunakan jentera 'stock'.
Dan pelumba kelahiran Turki itu mengakui gemar dengan litar berkenaan yang disifatkan sesuai dengan gaya tunggangannya.
Menariknya, perlumbaan di Hungary turut menandakan perlumbaan ke-1000 WorldSBK iaitu Perlumbaan Superpole.
Sebagai info, Razgatlioglu adalah pemenang perlumbaan ke-800 dan ke-900 WorldSBK dan ketika ditanya mengenai adakah dia merasai tekanan untuk menang, jawapannya adalah 'Ya'.
"Mengapa tidak? Ya, saya memang ada merasa tekanan. Ini sesuatu yang bagus, jika saya memenangi perlumbaan ini, menakjubkan! Perlumbaan Superpole, ini amat penting," kata Razgatlioglu kepada WorldSBK.com.
Razgatlioglu ketika ini memiliki kelebihan empat mata di depan pelumba Ducati, Nicolo Bulega selepas melakukan 'trebel' di Misano dan Donington Park.
"Saya gembira kerana ini adalah litar yang baharu dan akhirnya kami tiba di litar yang berbeza. Ini perkara yang bagus, saya menggemari litar ini, terutama 'chicane' dan 'chicane' yang benar-benar perlahan, ini adalah gaya saya.
"Saya menyukainya tetapi kami akan lihat kerana keadaan nampak seperti amat panas, tetapi saya tidak tahu pada hujung minggu kerana seperti pada Sabtu, mungkin Ahad, ia boleh hujan. Ini adalah baharu untuk semua orang, tetapi saya benar-benar gemarkan litar ini."
Kali terakhir Hungary menjadi tuan rumah kepada WSBK adalah 1990 di Hungaroring.
