TOPRAK Razgatlioglu Hanya 'Selangkah' Sebelum Sertai Pramac Yamaha?

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

5/28/20251 min read

PELUMBA bintang Turki, Toprak Razgatlioglu dilaporkan di ambang untuk mengesahkan perjanjian dengan pasukan MotoGP, Pramac Yamaha.

Razgatlioglu menerusi pengurusnya, Kenan Sofuoglu sebelum ini memang langsung tidak berselindung mengenai impiannya untuk beraksi di pentas tertinggi perlumbaan motosikal dunia itu.

Antara pasukan yang dikatakan berminat untuk mendapatkan khidmatnya adalah Honda tetapi menurut laporan Sky Italia, pelumba pasukan BMW Motorrad di WorldSBK itu 'hanya selangkah' untuk menyertai pasukan Pramac Yamaha.

Menurut laporan itu, hanya beberapa perincian masih belum dimuktamadkan dalam perjanjian itu dengan pengumuman mengenainya berkemungkinan dibuat di Mugello, Itali yang juga perlumbaan laman sendiri buat Pramac yang dijadual pada 20 hingga 22 Jun depan.

Menariknya, Sky Italia turut melaporkan Yamaha terbuka untuk meningkatkan jumlah jentera mereka di grid MotoGP musim depan bagi meningkatkan peluang itu.

Jika Yamaha berjaya mendapatkan tandatangan Razgatlioglu, Pramac Yamaha perlu mengubah senarai pelumbanya bagi musim depan.

Pasukan itu ketika ini dipacu dua pelumba berpengalaman, Jack Miller dan Miguel Oliveira dengan kontrak Miller akan berakhir pada penghujung musim ini manakala Oliveira sehingga tahun depan.

Bos Pramac, Gino Borsoi sebelum ini menegaskan mereka tidak berminat untuk melihat pelumba lain.

Miller dalam pada itu tampil dengan persembahan yang agak baik apabila menamatkan perlumbaan di tempat ke-7 perlumbaan GP.

Sementara itu, menurut laporan GPOne pula, BMW dikatakan ingin melakukan cubaan terakhir untuk mengekalkan pelumbanya itu di WorldSBK.

"BMW, yang tidak mempunyai banyak pilihan, sudah tentu akan cuba untuk melakukan cubaan terakhir untuk melihat pelumba bintangnya itu dibawa keluar," kata laporan itu.