TOPRAK Razgatlioglu Idam Gelaran Dunia Ke-3 WorldSBK Sebelum Ke MotoGP

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

6/13/20251 min read

GELARAN dunia ketiga WorldSBK adalah impian terbesar Toprak Razgatlioglu sebelum pelumba Turki itu mengucapkan selamat tinggal kepada kejuaraan itu untuk menyertai MotoGP pada musim depan.

Penyandang juara dunia WorldSBK itu mengesahkan perpindahannya ke MotoGP pada 2026 bersama pasukan Pramac Yamaha, minggu ini sekali gus menamatkan spekulasi perpindahannya yang berlarutan sejak 2021.

Akan mengharungi pusingan ke-6 WorldSBK musim ini di Emilia-Romagna, Itali, pelumba BMW Motorrad itu ketika ini ketinggalan 31 mata di belakang pendahulu kejuaraan, Nicolo Bulega daripada Ducati dalam carta kejuaraan.

Justeru, matlaman utama juara dunia dua kali WorldSBK itu pada pusim ini adalah untuk mengatasi defisit itu dan merangkul gelaran dunia ketiganya.

"Berpindah ke MotoGP sebagai juara dunia tiga kali WorldSBK adalah impian terbesar saya pada tahun ini," kata Razgatlioglu kepada WorldSBK.com. "Kami masih bersaing untuk merebut gelaran dengan Bulega dan perbezaan kami tidak begitu jauh, hanya 31 mata.

"Saya berharap untuk mendapat gelaran dunia itu pada tahun ini."

Razgatlioglu berkata penting untuk dia menambah koleksi gelaran dunia itu kerana ia adalah musim terakhirnya bersama BMW Motorrad.

"Ini adalah tahun terakhir saya dengan BMW, saya mahu memberikan kepada mereka sesuatu sebelum saya ke MotoGP," katanya.

"Kami memperoleh ujian yang amat bagus (di Misano) adan bekerja amat keras, dan perasaan tidak begitu teruk, hanya keadaan panas yang memberikan kesukaran sedikit kepada saya."

Selepas sedekad di paddock WorldSBK, Razgatlioglu mengakui perasaannya tetap berbelah bahagi untuk meninggalkan kejuaraan itu.

"Pada satu sudut, saya merasa sedih, satu lagi, saya amat gembira," katanya. "Saya sedih kerana saya merasakan yang WorldSBK adalah sebahagian daripada keluarga saya. Saya kenal semua orang, saya amat gembira di paddock.

"Saya akan ke MotoGP dan saya juga gembira kerana itu. Saya akan merindui semua orang. Bukan hanya perlumbaan, tetapi terutama pasukan, saya sentiasa bercakap dengan pasukan-pasukan ini. Saya berkawan baik dengan semua orang dan akan merindui mereka semua. Paddock amat tenang dan semua orang amat ramah."