TOPRAK Razgatlioglu Idam Gelaran Dunia WorldSBK Dengan Jenama Ketiga
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
1/26/20251 min read


PELUMBA Turki, Toprak Razgatlioglu sudah pun dilabel legenda apabila menjulang dua gelaran dunia WorldSBK bersama pengeluar berbeza - Yamaha dan BMW.
Begitupun ketika ditanya adalah dia merancang untuk menjulang satu lagi gelaran dunia bersama satu lagi pengeluar berbeza, juara dunia WorldSBK musim lalu itu mengakui ia antara pilihan yang dipertimbangkan.
Pada musim ini, Razgatlioglu akan kekal bersama BMW tetapi bukan rahsia yang impiannya adalah untuk 'berhijrah' ke MotoGP.
Dan peluang itu diharapkan terbuka seawal musim 2026 tetapi yang pasti bukan bersama BMW.
Seperti diketahui, BMW sah tidak akan menyertai kejuaraan berkenaan sehingga sekurang-kurangnya pada musim 2027 ketika peraturan baharu diperkenalkan.
Justeru, Razgatlioglu mengakui memenangi gelaran dunia WorldSBK bersama pengeluar selain Yamaha dan BMW adalah antara pilihan yang ada.
"Ya. Jika saya kekal," kata Razgatlioglu ketika ditanya mengenai soalan itu kepada Marca. "Saya juga berfikir mengenainya, tetapi sasaran utama adalah MotoGP.
Sebelum menjuarai gelaran dunia WorldSBK bersama BMW pada musim lalu, yang juga kejuaraan dunia pertama BMW, Razgatlioglu turut menjulang gelaran itu pada 2021 bersama Yamaha.
Pada musim lalu yang juga musim pertamanya bersama BMW, Razgatlioglu meraih pelbagai rekod termasuk 13 kemenangan berturut-turut sebelum ditimpa kemalangan di Magny-Cours.
Dengan 527 mata yang dikumpul pada musim ini, Razgatlioglu turut mencetak namanya sebagai juara yang mengumpul mata tertinggi dalam sejarah WorldSBK.
