TOPRAK Razgatlioglu Jangka Perebutan Gelaran Dunia WorldSBK Sengit Hingga Jerez
Selepas memulakan kempen dengan prestasi kurang memberangsangkan bersama jentera BMW M1000 RR, Toprak Razgatlioglu yang juga pelumba ROKiT BMW Motorrad bangkit dan kini mendahului kejuaraan dengan kelebihan 26 mata di depan Bulega
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
9/3/20251 min read


PELUMBA bintang WorldSBK Turki, Toprak Razgatlioglu mengakui persaingan merebut gelaran dunia WorldSBK dengan pelumba Ducati, Nicolo Bulega akan berlarutan sehingga pusingan terakhir di Jerez, Sepanyol.
Selepas memulakan kempen dengan prestasi kurang memberangsangkan bersama jentera BMW M1000 RR, pelumba pasukan ROKiT BMW Motorrad itu bangkit dan kini mendahului kejuaraan dengan kelebihan 26 mata menjelang rehat pertengahan musim.
“Pasukan sudah bekerja amat keras, kami berjaya bangkit dari kedudukan kedua dan kini mendahului kejuaraan, tetapi saya tidak terlalu memikirkan tentang itu,” kata Razgatlioglu memetik laporan Crash.net.
Menurut Razgatlioglu, Bulega menunjukkan peningkatan prestasi yang luar biasa pada musim ini dan memahami sepenuhnya potensi jentera yang ditunggangnya.
“Dia menunggang dengan lebih tenang, rentaknya sangat baik, lebih bagus berbanding tahun lalu. Dia juga lebih memahami tayar mana yang terbaik untuknya. Setiap hujung minggu perlumbaan, dia tampil dengan amat baik," katanya.
"Jika kami terus bersaing seperti ini, nampaknya kejuaraan hanya akan ditentukan di Jerez. Namun, inilah sukan permotoran; apa sahaja boleh berlaku sama ada masalah teknikal, kemalangan, atau sebarang kemungkinan lain kepada kami berdua."
Pada awal musim, Razgatlioglu berdepan pelbagai cabaran termasuk masalah teknikal di Litar Phillip Island yang hampir menyebabkannya terbabas pada Perlumbaan Superpole akibat kegagalan brek.
Selepas Bulega mendominasi pusingan di Cremona dan merampas kemenangan dalam Perlumbaan 2 di Litar Most, litar yang sebelum ini sering dikuasai Razgatlioglu, segala-galanya berubah selepas itu.
Pada pusingan di Misano, Razgatlioglu menemui semula rentak kemenangannya dan kini menuju ke pusingan seterusnya di Magny-Cours, Perancis hujung minggu ini dengan rekod cemerlang sembilan kemenangan berturut-turut.
"Pada permulaan musim, saya sering merasakan jentera ini bukan milik saya. Musim 2024 amat luar biasa bagi saya, tetapi apabila kami memulakan musim 2025, jentera ini tidak terasa sama.
"Apabila saya mula fokus pada tugas saya dan melupakan musim lalu, barulah saya kembali memenangi perlumbaan,” katanya.
