TOPRAK Razgatlioglu Juara Dunia WorldSBK 2025
Kejayaan itu berjaya diraih Toprak Razgatlioglu yang pelumba pasukan ROKiT BMW Motorrad itu sekali pun terpaksa bergelut pada pusingan terakhir Kejuaraan Superbike Dunia (WSBK) musim ini yang berlangsung di Jerez, Sepanyol pada minggu ini
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
10/19/20251 min read


PELUMBA sensasi Turki, Toprak Razgatlioglu mengukir sejarah apabila dinobatkan sebagai juara dunia WorldSBK 2025 yang juga gelaran ketiga kariernya.
Kejayaan itu berjaya diraih pelumba pasukan ROKiT BMW Motorrad itu sekali pun dia terpaksa bergelut pada pusingan terakhir Kejuaraan Superbike Dunia (WSBK) musim ini yang berlangsung di Jerez, Sepanyol pada minggu ini.
Sekalipun berpeluang menamatkan pemburuan lebih awal, Razgatlioglu terpaksa menunggu sehingga perlumbaan terakhir musim sebelum mengalahkan Nicolo Bulega dengan Kejuaraan kali ini disahkan dengan kelebihan 13 mata selepas tamat pusingan ke-12.
Musim 2025 menyaksikan Razgatlioglu meraih 21 kemenangan, termasuk rekod 13 kemenangan berturut-turut bermula dari Perlumbaan 1 di Emilia-Romagna, Itali pada Mei hingga Perlumbaan 1 di Aragon, Sepanyol hujung September.
Rekod ini menyamai pencapaian terbaiknya ketika merangkul gelaran 2024.
Sepanjang musim, Razgatlioglu hanya dua kali tidak menamatkan perlumbaan masing-masing di Perlumbaan 2 Phillip Island dan Perlumbaan Superpole di Jerez akibat insiden dengan Bulega.
Kejayaan kali ini turut menyaksikan Razgatlioglu meraih gelaran dunia secara berturut-turut buat kali pertama yang menambah rekod gelarannya selepas menjuarai kempen 2024 dan 2021.
Dan dia juga kekal sebagai satu-satunya juara dunia WorldSBK dari Turki, manakala pengurusnya, Kenan Sofuoglu pernah merangkul lima gelaran dunia dalam kelas WorldSSP.
Selepas menjulang BMW Motorrad selama dua musim, Razgatlioglu bakal melangkah ke pentas MotoGP pada musim 2026, sekali gus menjadi juara WorldSBK pertama menyertai MotoGP sejak Ben Spies pada 2010.
Sepanjang enam tahun kariernya dalam kelas perdana menggunakan jentera produksi, Razgatlioglu mengumpul 78 kemenangan perlumbaan dan 172 podium, bermula dari kemenangan sulung di Magny-Cours pada 2019 hingga penutup gemilang tahun ini.
