TOPRAK Razgatlioglu Julang BMW Menang Perlumbaan 1 WorldSBK Catalunya 2024

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

3/23/20242 min read

TOPRAK Razgatlioglu menampilkan strategi sempurna untuk merangkul kemenangan sulungnya di WorldSBK bersama BMW selepas menakluk Perlumbaan 1 WSBK Catalunya 2024, hari ini.

Memulakan perlumbaan di petak utama, pelumba kelahiran Turki yang menyertai pasukan ROKIT BMW Motorrad WorldSBK pada musim ini seperti dijelaskan olehnya menunggu sehingga saat akhir sebelum membuat gerakan.

Dan strateginya berjaya terutama untuk mengekang pelumba yang disifatkan membimbangkan, Nicolo Bulega dari Ducati untuk melepasi garisan penamat sebagai juara dengan catatan 34 minit 19.817 saat (s).

Bulega dari pasukan Aruba.It Racing Ducati terpaksa berpuas hati di tangga kedua selepas melepasi garisan penamat 0.868s di belakang Razgatlioglu dan rakan sepasukannya, Alvaro Bautista ketiga.

Selepas memimpin perlumbaan di peringkat awal, Razgatlioglu melepaskan kedudukan itu kepada pelumba Marc VDS Ducati, Sam Lowes dalam usahanya untuk 'menyimpan tayarnya'.

Begitupun selepas Lowes melakukan kesilapan dan mengalami kemalangan, Bulega pantas mengambil alih kedudukan pendahulu.

Dan situasi itu berterusan sehingga pusingan terakhir sebelum Razgatlioglu memulakan gerakan dan muncul sebagai juara.

"Pertama sekali saya mahu berterima kasih kepada pasukan kerana sejak dari hari pertama mereka melakukan kerja yang menakjubkan. Mereka bekerja amat kuat," kata Razgatlioglu.

"Akhirnya saya memenangi perlumbaan. Ia amat penting bagi saya di litar ini kerana saya tidak pernah menang di sini. Ini adalah impian saya dan untuk menang di Catalunya adalah menakjubkan.

"Perlumbaan ini amat sukar. Saya fikir di litar lain kami boleh bertarung dengan lebih mudah berbanding di sini. Secara keseluruhan saya amat gembira."

Sementara itu, pelumba negara, Adam Norrodin menamatkan perlumbaan di kedudukan ke-20 manakala rakan sepasukannya, Tarran Mackenzie di tangga ke-16.

Berikut keputusan Perlumbaan 1 WorldSBK Catalunya 2024

1. Toprak Razgatlioglu (TUR) ROKIT BMW Motorrad WorldSBK, 34'19.817 saat (s)

2. Nicolo Bulega (ITA) Aruba.It Racing Ducati, +0.868s

3. Alvaro Bautista (SPA) Aruba.It Racing Ducati, +5.338s

4. Andrea Iannone (ITA) GoEleven Ducati, +8.543s

5. Andrea Locatelli (ITA) Pata Yamaha Prometeon WorldSBK, +9.818s

6. Alex Lowes (GBR) Kawasaki Racing Team WorldSBK, +11.190s

7. Danilo Petrucci (ITA) Barni Spark Racing, +12.020s

8. Dominique Aegerter (SWI) GYTR GRT Yamaha WorldSBK, +12.329s

9. Michael Van Der Mark (NED) ROKIT BMW Motorrad WorldSBK, +16.677s

10. Axel Bassani (ITA) Kawasaki Racing Team WorldSBK, +17.144s

11. Michael Ruben Rinaldi (SPA) Motocorsa Ducati, +18.895s

12. Garrett Gerloff (USA) Bonovo Action BMW, +19.477s

13. Iker Lecuona (SPA) Team HRC WorldSBK, +22.194s

14. Xavi Vierge (SPA) Team HRC WorldSBK, +22.233s

15. Remy Gardner (AUS) GYTR GRT Yamaha WorldSBK, +32.087s

16. Tarran Mackenzie (GBR) Petronas Mie Honda, +34.181s

17. Scott Redding (GBR) Bonovo Action BMW, +37.540s

18. Bradley Ray (GBR) Motoxracing Yamaha WorldSBK, +38.241s

19. Philipp Oettl (GER) GMT94 Yamaha, +38.752s

20. Adam Norrodin (MAL) Petronas Mie Honda, +59.422s

21. Tito Rabat (SPA) Puccetti Kawasaki, +1 Lap

22. Sam Lowes (GBR) Marc VDS Ducati, DNF

23. Jonathan (RGBR) Pata Yamaha Prometeon WorldSBK, DNF