TOPRAK Razgatlioglu Layak Julang Gelaran Dunia WorldSBK 2024
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
10/21/20241 min read


ALVARO Bautista tak berjaya dalam usaha mempertahankan angka nombor satu yang digunakannya dalam kempen WorldSBK musim ini namun mengakui pelumba BMW Motorrad, Toprak Razgatlioglu layak menjulang gelaran itu.
Bautista yang juga pelumba Ducati meraih gelaran dunia WorldSBK pada 2022 dan 2023 namun berdepak kecederaan belakang ketika melakukan ujian terhadap jentera MotoGP menjelang Grand Prix Malaysia.
Selain kecederaan, pelumba kelahiran Sepanyol itu turut diarahkan untuk meletakkan pemberat kepada jenteranya pada 2024 sebagai sebahagian daripada peraturan perlumbaan.
Situasi itu menyaksikan dominasi Bautista yang menjuarai 27 daripada 36 perlumbaan pada 2023 berakhir.
Sekalipun bekas pelumba MotoGP itu tampak kekal 'bertenaga' di awal musim, kebangkitan mendadak Razgatlioglu pada pertengahan saingan menyaksikan Bautista ketinggalan jauh 170 mata ketika kejuaraan menutup tirainya.
"Dia (Razgatlioglu) benar-benar pelumba yang berbakat, dan dia bekerja dengan amat keras," kata Bautista kepada WorldSBK.com.
"Dia sentiasa cuba untuk meningkat, untuk bertambah baik dan baik, laju, jadi pelumba dengan karakter seperti ini sentiasa layak untuk meraih kemenangan dan gelaran."
Selain Razgatlioglu, Bautista turut memuji BMW yang disifatkan mempunyai jentera yang sempurna buat pelumba kelahiran Turki itu.
"Sudah tentu, dia dan BMW memperoleh musim yang menakjubkan," kata Bautista. "Saya tidak tahu jika ada sesiapa yang menjangkakan dia akan bersaing (merebut kejuaraan).
"Sejujurnya, saya menjangkakan dia akan bertarung untuk kemenangan malah untuk kejuaraan, mungkin tidak pada tahap yang dia tunjukkan sekarang, kerana pada pertengahan musim dia amat kuat dan amat sukar untuk menewaskannya.
"Juga sudah tentu dia tidak bernasib baik dengan kemalangan di Magny-Cours kerana dia perlu kembali untuk berlumba sekali lagi. Dia mengadaptasi dengan amat baik dengan jentera, dan kombinasi itu cukup kuat pada musim ini.
"Tahniah kepada mereka semua. Saya berharap untuk bersaing pada masa depan dengan mereka."
