TOPRAK Razgatlioglu Lengkapkan 'Treble Hatrik' Di Most

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

7/21/20242 min read

TOPRAK Razgatlioglu membuktikan kata-katanya bukan 'omong kosong' apabila merangkul kemenangan hatrik di Most, Republik Czech - kejayaan kali ketiga dilakukan secara berturut-turut olehnya musim ini.

Secara keseluruhan, ia adalah kemenangan ke-10 secara berturut-turut dilakukan pelumba kelahiran Turki itu yang menyusuli kejayaan hatrik di Misano dan Donington Park serta Perlumbaan 2 di Assen.

Dan kemenangan pada Pusingan 6 WSBK 2024 itu meletakkan pelumba pasukan ROKIT BMW Motorrad WorldSBK itu terus selesa di puncak carta kejuaraan dengan kelebihan 64 mata di depan pencabar terdekatnya, Nicolo Bulega dari Ducati.

Sekalipun memulakan perlumbaan di petak utama, Razgatlioglu begitupun tampak seperti membiarkan Bulega memimpin perlumbaan di awal saingan sebelum memulakan gerakannya berbaki 18 pusingan.

Dan juara dunia WorldSBK 2021 bersama Yamaha itu tidak lagi menoleh ke belakang sebelum melepasi garisan penamat 3.239 saat di depan Bulega.

Begitupun, Bulega yang juga 'Rookie' WorldSBK musim ini jelas tidak mahu membiarkan Razgatlioglu untuk terlalu selesa selepas pelumba pasukan Aruba.It Racing Ducati sekali lagi meraih tempat kedua.

Melengkapkan kedudukan podium adalah bekas rakan sepasukan Razgatlioglu musim lalu di Yamaha, Andrea Locatelli dari pasukan Pata Yamaha Prometeon WorldSBK.

Sementara itu, penyandang juara dunia WorldSBK, Alvaro Bautista sekali lagi berdepan malang apabila mengalami kemalangan seawal pusingan pertama yang menyaksikannya menamatkan perlumbaan dengan status 'DNF'.

Ia adalah kali kedua berturut-turut rakan sepasukan Bulega itu tidak mengumpul sebarang mata akibat dirempuh Danilo Petrucci dan mengikuti apa yang berlaku kepadanya pada Perlumbaan Superpole.

Sementara itu, juara dunia enam kali WorldSBK, Jonathan Rea dari pasukan Pata Yamaha Prometeon WorldSBK menamatkan perlumbaan di kedudukan ke-6.

Dalam pada itu, dua pelumba gantian pasukan Petronas MIE Racing Honda, Leandro Mercado dan Hayden Gillim masing-masing menamatkan perlumbaan di kedudukan ke-17 dan 18.

Tetapi kedudukan yang diraih pelumba yang menggantikan Tarran Mackenzie dan pelumba negara, Adam Norrodin itu adalah kedudukan tercorot di Most.

Secara keseluruhan, empat pelumba termasuk Bautista menamatkan perlumbaan dengan status 'DNF' iaitu Axel Bassani (Kawasaki Racing Team WorldSBK), Philipp Oettl (GMT94 Yamaha), Petrucci (Barni Spark Racing) manakala Sam Lowes (Marc VDS Ducati) tidak memulakan perlumbaan susulan kecederaan.

Keputusan Perlumbaan 2 WorldSBK Rep. Czech

  1. Toprak Razgatlioglu (TUR) ROKIT BMW Motorrad WorldSBK, 34'04.044s

  2. Nicolo Bulega (ITA) Aruba.It Racing Ducati, +3.239s

  3. Andrea Locatelli (ITA) Pata Yamaha Prometeon WorldSBK, +5.462s

  4. Remy Gardner (AUS) GYTR GRT Yamaha WorldSBK, +6.569s

  5. Michael Van Der Mark (NED) ROKIT BMW Motorrad WorldSBK, +8.529s

  6. Jonathan Rea (GBR) Pata Yamaha Prometeon WorldSBK, +12.577s

  7. Michael Ruben Rinaldi (SPA) Motocorsa Ducati, +13.808s

  8. Andrea Iannone (ITA) GoEleven Ducati, +16.507s

  9. Alex Lowes (GBR) Kawasaki Racing Team WorldSBK, +16.715s

  10. Iker Lecuona (SPA) Team HRC WorldSBK, +19.250s

  11. Xavi Vierge (SPA) Team HRC WorldSBK, +20.389s

  12. Garrett Gerloff (USA) Bonovo Action BMW, +21.132s

  13. Scott Redding (GBR) Bonovo Action BMW, +24.596s

  14. Tito Rabat (SPA) Puccetti Kawasaki, +26.330s

  15. Bradley Ray (GBR) Motoxracing Yamaha WorldSBK, +28.227s

  16. Dominique Aegerter (SWI) GYTR GRT Yamaha WorldSBK, +43.343s

  17. Leandro Mercado (ARG) Petronas Mie Honda, +50.770s

  18. Hayden Gillim (USA) Petronas Mie Honda, +53.367s

Axel Bassani (ITA) Kawasaki Racing Team WorldSBK, DNF

Philipp Oettl (GER) GMT94 Yamaha, DNF

Alvaro Bautista (SPA) Aruba.It Racing Ducati, DNF

Danilo Petrucci (ITA) Barni Spark Racing, DNF

Sam Lowes (GBR) Marc VDS Ducati, DNS