TOPRAK Razgatlioglu Mahu Beraksi Di MotoGP 2025
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
6/21/20241 min read


BINTANG WSBK BMW, Toprak Razgatlioglu mahu beraksi di MotoGP seawal tahun depan, kata Pengurusnya, Kenan Sofuoglu.
Memetik laporan Speedweek.com, Sofuoglu berkata pelumba kelahiran Turki itu menerima banyak tawaran di paddock MotoGP ketika ini yang membolehkannya menyertai perlumbaan elit itu seawal 2025.
"Ada banyak pihak yang berminat dengan Toprak di paddock MotoGP termasuk pada tahun depan," kata Sofuoglu.
"Kami memiliki kontrak dengan BMW, tetapi saya sudah memberitahu BMW yang kami mahu meninggalkan WSBK (Kejuaraan Superbike Dunia) pada penghujung musim ini dan berpindah ke MotoGP.
"Saya menerangkan kepada mereka ini adalah permintaan Toprak."
Tidak diketahui pasukan mana yang berminat dengan khidmat juara dunia WorldSBK 2021 itu namun Sofuoglu sebelum ini menyatakan dengan jelas Razgatlioglu hanya akan berhijrah ke MotoGP jika ditawarkan tempat bersama pasukan 'Kilang'.
Justeru secara teori, hanya tiga pengeluar masih memiliki kekosongan iaitu Honda, Aprilia dan Yamaha dengan Ducati dan KTM sudah pun mempunyai senarai yang lengkap.
Begitupun, situasi di paddock MotoGP ketika ini boleh dianggap agak kompleks.
Sekalipun Repsol Honda sudah menyuarakan hasrat untuk melanjutkan kontrak pelumbanya Joan Mir, tiada tandatangan sudah diturunkan setakat ini.
Di kem Yamaha, Razgatlioglu pernah menyuarakan dia tidak selesa menunggang Yamaha M1 ketika menguji jentera itu pada tahun lalu sebelum membuat keputusan menyertai BMW.
Aprilia dalam pada itu dikatakan berhasrat mendapatkan Marco Bezzecchi tetapi jika Pramac bertindak menyertai Yamaha, pelumba Itali itu berpeluang untuk menunggang jentera 'kilang' Ducati GP25 di VR46.
BMW Motorrad sebelum ini mengakui cukup serius untuk menyertai MotoGP tetapi ia berkemungkinan besar berlaku selepas peraturan kejuaraan itu berubah pada 2027.
