TOPRAK Razgatlioglu Mahu BMW Beraksi Di MotoGP

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

4/22/20241 min read

PELUMBA Turki, Toprak Razgatlioglu tidak menolak dia mungkin beralih angin beraksi di MotoGP terutama jika berjaya menambah koleksi gelaran dunia di Kejuaraan Superbike Dunia (WSBK).

Dan lebih menarik, 'penghijrahan' itu dapat dibuat bersama pasukannya ketika ini, BMW Motorrad.

Razgatlioglu berjaya merangkul gelaran dunia WorldSBK pada 2021 bersama Yamaha dan sekalipun beberapa kali berpeluang menguji jentera M1 Yamaha di MotoGP, tiada tempatnya bersama pasukan itu yang membuatkannya beralih angin menyertai BMW Motorrad musim ini.

Selepas tiga pusingan berlangsung, Razgatlioglu berjaya menjulang BMW meraih kemenangan termasuk di Assen, semalam.

Keputusan itu menyaksikan Razgatlioglu ketika ini menghuni tangga ke-2 carta kedudukan pelumba dan hanya dibezakan lima mata dengan pendahulu, Alvaro Bautista dari Ducati.

Justeru, jika pelumba berusia 27 tahun itu berjaya membawa BMW Motorrad menjulang gelaran dunia pertama pengeluar Jerman itu, kemungkinan untuknya beraksi di MotoGP menjadi lebih cerah.

"Jika saya menjuarai gelaran WorldSBK, saya berpeluang berlumba di MotoGP pada 2026 dan saya tidak mahu menolak kemungkinan itu," kata Razgatlioglu memetik laporan GPOne.

"Jika saya perlu ke MotoGP, ia adalah kerana saya memburu cabaran yang sengit. Jelas, tidak akan mudah untuk beralih ke paddock lain, tetapi kita tengok dan lihat."

Ketika ini, BMW Motorrad dikhabarkan berminat untuk mengambil alih tempat yang dikosongkan oleh Suzuki di MotoGP namun ia bukan dalam tempoh terdekat tetapi apabila peruturan teknikal berubah pada 2027.

"Saya mahu BMW pergi ke MotoGP dan saya fikir tiada apa yang lebih sempurna," kata Razgatlioglu.

"Kita akan lihat apa yang akan terjadi nanti. Tetapi ia bukan sesuatu yang boleh diketepikan yang mereka akan kekal di sini, di Superbike."