TOPRAK Razgatlioglu Mahu Hatrik Di Donington Park
Kemenangan pada Perlumbaan 1 WorldSBK di Donington Park tidak mencukupi buat Toprak Razgatlioglu yang mengakui dia perlu mengulangi kejayaan yang sama diperoleh pada tahun lalu
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
7/13/20251 min read


JUARA Perlumbaan 1 WorldSBK di Donington Park, Toprak Razgatlioglu mengakui dia memerlukan tiga kemenangan di litar berkenaan - kejayaan yang sama diperoleh pelumba BMW Motorrad itu pada tahun lalu.
Memulakan perlumbaan di petak utama, pelumba kelahiran Turki itu begitupun dipintas pelumba tuan rumah, Alex Lowes di pusingan kedua. Begitupun dua pusingan kemudian, pelumba pasukan Bimota by Kawasaki Racing itu terjatuh di selekoh tiga.
Kemalangan itu menyaksikan pelumba ROKiT BMW Motorrad WorldSBK itu kembali memimpin perlumbaan dan melepasi garisan penamat dengan kelebihan lebih enam saat di depan pelumba Aruba.it Racing Ducati, Nicolo Bulega.
"Saya amat gembira kerana, terutama pada minggu ini, saya memerlukan tiga kemenangan, seperti hatrik, seperti tahun lalu," katanya.
"Perlumbaan pertama selesai, kami mempunyai dua lagi perlumbaan esok. Saya fikir semua orang akan menambah baik jentera mereka, saya tahu, dan mungkin semua orang akan menggunakan tayar yang berbeza.
"Juga tayar jenis SCX tidak 100 peratus kerana pada akhir perlumbaan tahap cengkamannya menurun dengan besar. Apapun, saya fikir Bulega akan menggunakan tayar yang sama, tetapi ia ada hadnya. Kita akan lihat nanti."
Di sebalik persembahan dominan, Razgatlioglu merasakan masih banyak yang perlu dipertingkatkan.
"Saya masih rasa yang dari sudut elektronik kami masih ada masalah, terutama pada selekoh ke-11, mungkin kamu dapat lihat di tv yang saya menggelengkan kepala kerana jentera saya tidak mahu berhenti di situ, brek enjin tidak berfungsi seperti tahun lalu.
"Kami melihat data daripada tahun lalu dan tahun ini. Kami memahami masalahnya tetapi ia masih tidak selesai, kami masih bergelut."
