TOPRAK Razgatlioglu Mengganas Di Estoril
Pelumba pasukan ROKiT BMW Motorrad, Toprak Razgatlioglu membuktikan kejaguhannya apabila merangkul kemenangan ke-20 musim ini dengan menjuarai Perlumbaan 1 Pusingan ke-11 WSBK di Litar Estoril, Portugal
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
10/11/20252 min read


PELUMBA sensasi Turki, Toprak Razgatlioglu (ROKiT BMW Motorrad) terus mengukuhkan cengkaman di puncak carta kedudukan pelumba WorldSBK 2025 apabila merangkul kemenangan ke-20 musim ini dengan menjuarai Perlumbaan 1 Pusingan ke-11 WSBK di Litar Estoril, Portugal hari ini.
Memulakan perlumbaan di petak utama, Razgatlioglu begitupun bermula perlahan selepas perlumbaan disambung semula yang menyaksikannya tergelincir ke kedudukan kelima.
Tetapi pelumba yang akan beraksi di pentas MotoGP musim depan itu berjaya bangkit untuk memintas kesemua pelumba di depannya termasuk Andrea Locatelli, Alex Lowes, Nicolo Bulega dan Alvaro Bautista sebelum mendahului pada penghujung pusingan ketiga.
Pelumba Aruba.it Racing Ducati, Bulega cuba mengejar selepas memintas Bautista, namun masih ketinggalan hampir dua saat di belakang Razgatlioglu di tempat kedua.
Walaupun berjaya merapatkan jurang kepada kurang satu saat pada separuh kedua perlumbaan, Bulega gagal melakukan sebarang serangan dan terpaksa akur di tempat kedua dengan perbezaan 1.948 saat.
Rakan sepasukan Bulega, Bautista menamatkan perlumbaan di tempat ketiga, 12 saat di belakang Bulega selepas bergelut dengan prestasi pada awal perlumbaan yang menyaksikannya diasak hebat oleh Jonathan Rea.
Pelumba Pata Maxus Yamaha, Rea jatuh ke tempat keenam, manakala rakan sepasukannya Locatelli mengambil alih kedudukan keempat, menamatkan perlumbaan setengah saat di hadapan Lowes dari pasukan Bimota by Kawasaki Racing Team.
Xavi Vierge dari pasukan Honda HRC berjaya mempertahankan kedudukan ketujuh daripada tekanan Andrea Iannone (Team Go Eleven), yang menamatkan di tempat kelapan.
Remy Gardner (GYTR GRT Yamaha) dan Garrett Gerloff (Kawasaki WorldSBK Team) melengkapkan kelompok 10 terbaik.
Dua pelumba gagal menamatkan perlumbaan akibat kemalangan iaitu Yari Montella (Barni Spark Racing) pada pusingan pertama dan Iker Lecuona (Honda HRC) di selekoh ketiga beberapa pusingan kemudian.
Dalam pada itu, perlumbaan yang dijadualkan berlangsung selama 21 pusingan terpaksa dipendekkan kepada 20 selepas insiden kemalangan pada pusingan pembukaan yang membabitkan lima pelumba - Axel Bassani, Tetsuta Nagashima, Michael van der Mark, Tarran Mackenzie dan Bahattin Sofuoglu.
Kesemua pelumba terbabit berjaya menyertai semula perlumbaan, namun Sofuoglu terpaksa memulakan dari lorong pit selepas gagal keluar untuk pusingan pemanas badan sebelum lorong ditutup.
Keputusan Perlumbaan 1 WorldSBK Estoril 2025
Toprak Razgatlioglu (TUR) ROKiT BMW Motorrad, juara
Nicolo Bulega (ITA) Aruba.it Racing Ducati, +1.948s
Alvaro Bautista (ESP) Aruba.it Racing Ducati, +14.729s
Andrea Locatelli (ITA) Pata Maxus Yamaha, +16.563s
Alex Lowes (GBR) Bimota by Kawasaki Racing Team, +17.044s
Jonathan Rea (GBR) Pata Maxus Yamaha, +18.575s
Xavi Vierge (ESP) Team HRC, +19.146s
Andrea Iannone (ITA) Team Go Eleven, +19.614s
Remy Gardner (AUS) GYTR GRT Yamaha, +21.862s
Garrett Gerloff (USA) Kawasaki WorldSBK Team, +29.025s
Axel Bassani (ITA) Bimota by Kawasaki Racing Team, +31.860s
Ryan Vickers (GBR) Motocorsa Racing, +33.950s
Tito Rabat (ESP) Petronas MIE Racing Team, +37.370s
Tarran Mackenzie (GBR) MGM Bonovo, +43.684s
Michael van der Mark (NED) ROKiT BMW Motorrad, +48.263s
Tetsuta Nagashima (JPN) Team HRC, +52.375s
Bobby Fong (USA) Attack Performance Yamaha, +59.589s
Ivo Lopes (POR) Petronas MIE Racing Team, +1:06.803s
Iker Lecuona (ESP) Team HRC, DNF
Yari Montella (ITA) Barni Spark Racing, DNF
Bahattin Sofuoglu (TUR) Motoxracing Yamaha, DNF
