TOPRAK Razgatlioglu Mula Intai Gelaran Dunia WorldSBK

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

7/19/20241 min read

TOPRAK Razgatlioglu tidak menyebut untuk menjulang gelaran dunia WorldSBK musim ini pada awal penampilannya bersama BMW Motorrad tetapi situasi itu tampak sudah berubah.

Selepas merangkul kemenangan pada Perlumbaan 2 di Misano, pelumba kelahiran Turki itu masih belum dapat dikalahkan setakat ini menerusi gelaran hatrik berturut-turut di Assen dan Donington Park.

Tujuh kemenangan berturut-turut menyaksikan Razgatlioglu gah menghuni carta kejuaraan dengan kelebihan 41 mata di depan pencabar terdekatnya dari Ducati, Nicolo Bulega.

Dan bercakap menuju Pusingan 6 di salah satu litar yang pernah dimenanginya musim lalu bersama Yamaha, Razgatlioglu tidak lagi dapat menyembunyikan hasratnya untuk bergelar juara dunia buat kali kedua.

"Sasaran saya adalah sentiasa memenangi perlumbaan, tetapi pada minggu ini saya akan cuba mendapatkan tiga kemenangan," kata Razgatlioglu.

"Setiap minggu kami akan pergi dari satu perlumbaan ke satu perlumbaan, tetapi kini kami lebih kuat. Kami kini melihat kepada kejuaraan.

"Ia bukan perancangan saya pada tahun ini, hanya beberapa podium. Tetapi kami dengan pantas memenangi perlumbaan, jadi fikiran saya berubah dan kini gelaran juara dunia mampu dilakukan dengan BMW.

"Saya masih lagi akan melihat kepada satu perlumbaan ke satu perlumbaan kerana saya perlukan lebih kemenangan. Saya kini meraih kemenangan ketujuh berturut-turut saya, jadi saya perlukan tiga lagi di sini, kemudian dua lagi di Portimao untuk mendapatkan 12 kemenangan.

"Jika kami tidak memenangi kejuaraan, saya tidak akan gembira kerana semua orang bekerja keras, dan kami memenangi perlumbaan.

"Kami kuat ketika ini dan kami memerlukannya untuk menjadi juara dunia tahun ini, tetapi ini adalah perlumbaan dan kadang kala kamu akan berdepan kesukaran."

Di Most tahun lalu, Razgatlioglu yang beraksi bersama Yamaha bersaing sengit dengan juara dunia dari Ducati, Alvaro Bautista malah berjaya memenangi Perlumbaan Superpole dan mendapat tempat kedua pada Perlumbaan 1.

Tetapi pada Perlumbaan 2, sesuatu yang sukar dilupakan berlaku kepada Razgatlioglu yang menyaksikannya berdepan masalah 'pelik' membabitkan tayar dan lebih mengecewakan, ketika sedang mendahului.