TOPRAK Razgatlioglu Mula Intai Podium Kemenangan Di Phillip Island

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

2/21/20241 min read

TOPRAK Razgatlioglu tampak makin serasi dengan jentera BMW M1000RR apabila merobek rekod catatan terpantas WorldSBK di Phillip Island ketika ujian pra-musim menjelang aksi pembukaan, hujung minggu ini.

Meninggalkan pasukan Yamaha yang menghadiahkannya kejuaraan dunia WorldSBK pada 2021 untuk menyertai BMW Motorrad musim ini, pelumba kelahiran Turki itu mencatatkan masa rekod 1:28.511 saat (s).

Pernah mencipta 'ajaib' dengan memenangi perlumbaan debutnya bersama Yamaha empat tahun lalu, Toprak boleh mengulangi kejayaan sama pada aksi pembuka tirai Kejuaraan Motosikal Dunia (WSBK) di Australia.

Dan berdasarkan keputusan yang diraih ketika ujian terutama di Phillip Island, keyakinannya makin bertambah.

"Penting untuk memulakannya dengan keputusan yang baik," kata Toprak memetik laporan Crash.net.

"Ketika ini, saya hanya berfikir mengenai podium, tetapi saya berharap saya boleh bersaing untuk meraih kemenangan. Ia tidak akan menjadi perlumbaan yang mudah.

"Kami sedang bekerja keras. Kami masih belum 100 peratus tetapi kami memulakannya dengan pantas.

"Secara umumnya, segala-galanya nampak baik. Saya teruja menjelang perlumbaan pertama, jadi mungkin selepas perlumbaan pertama, saya akan lebih bertenang.

"Sentiasa tidak mudah untuk berlumba di sini, terutama dengan permukaan litar yang baharu. Saya fikir semua orang akan menikmati perlumbaan pada minggu ini," kata Toprak.

Sekalipun pantas, catatan yang dilakukan Toprak hanya +0.074s lebih pantas berbanding pelumba 'Rookie' WorldSBK yang juga rakan sepasukan penyandang juara, Alvaro Bautista iaitu Nicolo Bulega dari Ducati.

"Saya amat takut kerana kebiasaannya, saya tidak begitu baik di litar ini," katanya. "Saya memulakannya dengan amat baik, kelajuan untuk perlumbaan juga amat-amat bagus.

"Begitupun masalahnya adalah pada tayar belakang. Selepas 10 pusingan, ia habis. Ada beberapa permukaan yang cengkamannya terlalu banyak. Saya melakukan masa sepusingan yang amat baik yang juga rekod tetapi bagi saya, minggu perlumbaan lebih penting.

"Saya hanya fokus mengenai perkara ini. Perasaannya amat bagus tetapi secra keseluruhan, saya amat gembira."