TOPRAK Razgatlioglu Mula Uji Yamaha M1 Pada 19 Oktober Di Jerez
Toprak Razgatlioglu sudah diberikan tarikh oleh Yamaha Motor Racing bila dia dijangka akan jentera MotoGP Yamaha M1 di Jerez, Sepanyol pada Oktober depan sejurus kempen MotoGP 2025 berakhir.
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
6/17/20252 min read


YAMAHA Motor Racing menjangkakan pelumba bintangnya yang sedang beraksi di pentas WorldSBK, Toprak Razgatlioglu akan mula menguji jentera MotoGP Yamaha M1 di Jerez, Sepanyol pada 19 Oktober depan.
Dan tarikh berkenaan adalah sejurus kempen WorldSBK pada musim ini menutup tirainya dengan Razgatlioglu akan memulakan persiapannya bagi menghadapi kempen MotoGP 2026 dengan ujian persendirian.
"Situasinya adalah kemungkinan besar dia akan berpeluang untuk menguji sejurus selepas musim WSBK," kata Pengarah Urusan Yamaha Motor Racing, Paolo Pavesio memetik laporan Crash.net. "Saya perlu katakannya, saya amat berterima kasih kepada BMW atas cara mereka mengawal situasi ini.
"Sudah tentu, faktanya adalah pelumba membuat perubahan kejuaraan menjadikannya lebih mudah. Dan adalah fakta juga yang Toprak sudah memberikan BMW gelaran yang amat penting bagi membuatkan hubungan mereka amat baik.
"Ini adalah Toprak, dia lelaki yang baik, dan orang mahu menyokongnya sebanyak yang mereka mampu."
Ujian itu bukan kali pertama Razgatlioglu menunggang Yamaha M1 selepas turut melakukan ujian pada 2023 yang juga ujian persendirian MotoGP keduanya bersama Yamaha yang mencetuskan spekulasi dia akan berpindah ke MotoGP.
Tetapi prestasi jentera yang ditunjukkan ketika itu dengan catatan Razgatlioglu 1.4 saat lebih perlahan berbanding pelumba ujian KTM, Dani Pedrosa dan 1 saat lebih perlahan berbanding pelumba ujian Yamaha, Cal Crutchlow membuatkannya kekal di WorldSBK.
Lebih menarik, Razgatlioglu membuat keputusan untuk menyertai BMW Motorrad dan mencipta sejarah dengan menjuarai gelaran dunia WorldSBK keduanya bersama pengeluar gergasi Jerman itu.
"Saya berfikir saya perlu menjadi amat telus, yang ujian (MotoGP sebelum ini) di bawah jangkaan Toprak, tetapi apa yang penting juga adalah ketika itu kami masih belum bersedia," kata Pavesio.
"Bukan rahsia yang pada tahun '22, ’23, ’24 adalah tahun yang mencabar buat Yamaha di MotoGP. Dan apabila kamu berada dalam kesulitan, ada alasan. Kami banyak menstruktur semula operasi perlumbaan kami, termasuk aktiviti pasukan ujian.
"Tidak pernah ada perasaan dendam di antara kami. Ujian tidak seperti jangkaan. Saya fikir untuk sesiapapun. Ini memberikan Toprak keinginan untuk mencari cabaran baharu (bersama BMW).
"Sejujurnya, apabila saya melihat ceritanya sekarang, saya juga gembira dia boleh membuktikan dirinya dengan jentera lain, membuktikan yang dia boleh mengubah jentera dan pelbagai jentera dan masih boleh berjaya.
"Ia memberikan saya lebih banyak harapan atau kepercayaan bagi babak seterusnya."
