TOPRAK Razgatlioglu Sah Sertai Pramac Yamaha MotoGP 2026
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
6/11/20251 min read


PELUMBA sensasi Turki, Toprak Razgatlioglu akan menyertai Pramac Yamaha bagi kempen MotoGP pada musim 2026.
Perkembangan itu menyaksikan juara dunia dua kali WorldSBK itu akan mengucapkan selamat tinggal kepada BMW Motorrad, pasukan di mana pelumba berusia 28 tahun itu menjulang gelaran dunia keduanya musim lalu.
Seperti diketahui, Razgatlioglu meraih gelaran dunia WorldSBK pertamanya pada 2021 bersama Yamaha.
Begitupun, perjanjian Razgatlioglu hanya menyaksikannya bersama Yamaha bagi musim 2026.
Justeru, kedua-dua pihak terbuka sama ada ingin melanjutkan kerjasama selepas itu terutama bagi menghadapi perubahan peraturan terbesar MotoGP sejak sedekad lalu pada 2027.
"Kami teruja dan mengalu-alukan kehadiran semula Toprak Razgatlioglu ke keluarga Yamaha," kata Pengarah Urusan Yamaha Racing, Paolo Pavesio.
“Toprak, pelumba paling banyak memenangi perlumbaan buat Yamaha di WorldSBK sudah terbukti amat berbakat, mengesahkan gelaran dunia WorldSBK dua kali yang menunjukkan kemampuan dimilikinya.
"Peralihannya ke MotoGP adalah kedua-duanya, satu 'kepulangan' dan cabaran baru yang mengujakan yang sudah dirancang dengan matlamat jelas untuk pertumbuhan progresif dari semasa ke semasa.
"Semangat juang dan keinginan tinggi yang dimilikinya sepadan dengan pasukan Prima Pramac Yamaha serta strategi MotoGP Yamaha yang berani, justeru kami percaya tahun 2026 adalah masa yang tepat untuk membuat langkah yang sudah lama dinantikan oleh ramai peminat."
Sebagai info, Pavesio sememangnya memiliki hubungan baik dengan Razgatlioglu dengan kedua-duanya pernah bekerja bersama-sama ketika di pentas WorldSBK.
Perpindahan Razgatlioglu sudah pasti akan membawa kepada penyingkiran salah seorang pelumba semasa Pramac iaitu Jack Miller dan Miguel Oliveira.
Pelumba Australia, Miller dijangka akan tersingkir berikutan kontraknya akan tamat pada penghujung tahun ini.
Begitupun, penampilannya setakat ini jelas lebih menyerlah berbanding Oliveira setakat ini sekali pun berdepan kesukaran pada perlumbaan di Aragon yang menyaksikannya hanya berada di tempat ke-14.
