TOPRAK Razgatlioglu Sasar Kebangkitan Di Jerez!

Selepas Thailand, Brazil dan Amerika Syarikat, pelumba sensasi Pramac Yamaha, Toprak Razgatlioglu akhirnya akan beraksi di litar yang pernah menghadiahkannya deretan kejayaan khususnya di pentas WorldSBK - Jerez di GP Sepanyol

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

4/22/20261 min read

SELEPAS tiga pusingan, pelumba sensasi Pramac Yamaha, Toprak Razgatlioglu akhirnya akan beraksi di litar yang pernah menghadiahkannya pelbagai kejayaan khususnya di pentas WorldSBK - Jerez di GP Sepanyol, minggu ini.

Untuk rekod, pelumba kelahiran Turki itu melakar sejarah merangkul gelaran dunia WorldSBK bersama jentera BMW pada aksi penutup musim di litar yang sama bagi tahun 2024 dan 2025.

Pernah kembali ke litar berkenaan bagi sesi ujian persendirian Yamaha awal tahun ini, cabaran hujung minggu ini adalah kali pertama Razgatlioglu akan bersaing dalam grid penuh di MotoGP.

"Saya sangat sukakan Jerez, bukan sahaja kerana susun atur litar dan perasaan ketika menunggang di sini, tetapi juga kerana memori fantastik bergelar Juara Dunia WorldSBK di trek ini dalam tempoh dua tahun berturut-turut. Jadi, saya ada memori yang cukup menakjubkan di sini," katanya.

"Saya tidak sabar untuk kembali berlumba di sini yang kebiasaannya memberi tuah kepada saya. Namun, kami harus sedar kami ketika ini sedang membawa projek baharu bersama jentera Yamaha.

"Oleh itu, kami perlu memastikan keserasian saya dengan litar ini dapat diterjemahkan kepada jentera baharu ini. Saya tahu pasukan sedang bekerja keras untuk menambah baik keupayaan jentera, dan saya berazam memberikan tunggangan terbaik seperti biasa bagi merangkul keputusan yang positif."

Razgatlioglu sebelum ini berjaya mengutip mata sulung dalam saingan MotoGP selepas menduduki tempat ke-15 di COTA sekali gus muncul pelumba Yamaha terbaik dalam perlumbaan itu.