TOPRAK Razgatlioglu Sertai Honda HRC Di MotoGP Pada 2026?
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
3/27/20251 min read


PELUMBA bintang Turki di pentas WorldSBK, Toprak Razgatlioglu memang tidak berahsia yang antara impiannya adalah untuk beraksi di pentas MotoGP.
Tampak berpeluang untuk ke kancah perlumbaan paling elit jentera dua roda itu sebelum ini bersama Yamaha, ia tidak menjadi kenyataan buat juara dunia dua kali WorldSBK itu atas beberapa sebab.
Kembali kuat dikaitkan dengan perpindahan ke MotoGP selepas menjulang gelaran dunia keduanya bersama BMW Motorrad, musim lalu, ia juga tidak berlaku dengan Razgatlioglu memilih untuk 'setia' dengan kontraknya bersama pengeluar Jerman itu.
Antara sebab yang didakwa menjadi punca perbincangan itu tidak berjaya adalah Razgatlioglu tidak ditawarkan tempat bersama pasukan 'kilang', tetap satelit.
Dan menuju pusingan kedua WorldSBK di Portugal, minggu ini, timbul perkembangan menarik yang mengaitkannya dengan perpindahan ke pengeluar Jepun yang sedang bergelut iaitu Honda di MotoGP.
Menurut laporan Motosprint, perbincangan membabitkan Honda dan Razgatlioglu sudah berlaku dan lebih menarik, seawal musim depan.
Laporan itu tidak sekadar terhenti di situ apabila Razgatlioglu turut didakwa menerima tawarkan kontrak selama 4 tahun (2+2).
Seperti diketahui, Razgatlioglu sememangnya tidak terikat dengan sentimen 'emosi' dan mempunyai masalah untuk meninggalkan mana-mana pasukan disertainya.
Buat Honda, kehadiran Razgatlioglu mungkin boleh menjadi 'penyelamat' buat pengeluar itu yang kali terakhir menjulang gelaran dunia pada 2019 bersama Marc Marquez.
Setakat ini, kontrak tiga daripada empat pelumba Honda termasuk di pasukan 'kilang' Honda HRC dijadual berakhir pada penghujung tahun ini.
Ia termasuk pelumba terbaik Honda di grid ketika ini, Johann Zarco dengan adik kepada legenda MotoGP, Valentino Rossi iaitu Luca Marini juga berakhir dalam tempoh yang sama.
Honda ketika ini dilihat mula mencipta kebangkitan apabila menghuni tangga kedua carta pengeluar di pentas MotoGP musim ini.
