TOPRAK Razgatlioglu Sertai Yamaha MotoGP? Ini Jawapan Bos Yamaha

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

5/20/20251 min read

PELUMBA sensasi Turki, Toprak Razgatlioglu menjadi antara pelumba berprofil tinggi yang dikaitkan dengan perpindahan ke MotoGP.

Sebagai penyandang juara dunia WorldSBK, perkara itu bukan sesuatu yang pelik dan antara pengeluar yang dikatakan berminat mendapatkan khidmatnya adalah dua syarikat gergasi Jepun, Honda dan Yamaha.

Selain dikaitkan dengan perpindahan ke pasukan 'kilang' Honda HRC di MotoGP, pelumba BMW Motorrad itu turut dikatakan penghijrahan ke pasukan satelit Yamaha, Pramac.

Malah pengurusnya sendiri sebelum ini melaporkan tempoh untuk Yamaha membuat keputusan adalah singkat tetapi tarikh tamat itu dikatakan sudah berakhir ketika ini.

Yamaha secara teorinya mempunyai satu tempat yang boleh diisi pada tahun 2026 selepas pelumba Australia, Jack Miller hanya memiliki kontrak sehingga penghujung musim ini.

Tetapi, Pengarah Urusan Yamaha Racing, Paolo Pavesio sebelum ini sudah pun menyatakan hasrat mereka untuk memberikan peluang kepada Miller dan rakan sepasukannya, Miguel Oliveira bagi mereka membuktikan kemampuan mereka.

Dan dalam satu temuramah bersama Motorsport.com. bos Yamaha Racing, Massimo Meregalli menegaskan adalah masih terlalu awal untuk bercakap mengenai kemungkinan untuk Razgatlioglu ke MotoGP pada 2027.

"Kemampuan Toprak untuk melakukan apa yang dia lakukan adalah menakjubkan," kata Meragalli. "Tetapi adalah terlalu awal untuk berkata mengenai apa yang akan dia lakukan.

"Sebelum ini, dia adalah pelumba Yamaha, jadi kami amat mengenalinya dengan baik. Juga apabila dia melakukan ujian dengan kami, dia melakukannya dengan baik. Dia hanya dapat melakukan beberapa pusingan kerana cuaca, tetapi saya fikir dia boleh menunggang jentera MotoGP."

Razgatlioglu menjulang gelaran dunia pertama WorldSBK bersama Yamaha pada musim 2021 dan pernah dua kali menguji jentera MotoGP pengeluar itu.

Ujian terakhirnya adalah di Jerez, Sepanyol pada 2023 yang turut disertai ramai 'orang kuat' syarikat itu ketika ideanya adalah untuk memberikannya tempat di MotoGP pada 2024.

Tetapi ia tidak berlaku dengan Razgatlioglu kemudian mendedahkan dia tidak gembira dengan ujian itu berlangsung terutama pada hari kedua yang menyaksikannya langsung tidak menyuntuh jentera itu kerana mendakwa ia tidak disesuaikan dengan kehendaknya.

Kemelut kemudian menyaksikannya Razgatlioglu meninggalkan Yamaha untuk menyertai BMW Motorrad dan menjuarai gelaran dunia WorldSBK miliknya bersama pengeluar Jerman itu.