TOPRAK Razgatlioglu Tak Fikir Gelaran Dunia Di Estoril

Dari sudut matematik, Razgatlioglu, perlu mengutip sekurang-kurangnya 36 mata lebih banyak daripada pencabar utama, Nicolo Bulega, dalam tiga perlumbaan di Estoril minggu ini untuk mengelak penentuan juara ditentukan di Jerez minggu depan

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

10/9/20251 min read

PELUANG pelumba bintang Turki, Toprak Razgatlioglu untuk merangkul gelaran juara dunia WorldSBK 2025 di Estoril, Portugal pada hujung minggu ini memang ada tetapi perlu diakui ia boleh dikatakan agak tipis.

Malah ia diakui sendiri oleh pelumba pasukan ROKiT BMW Motorrad itu sehingga dia sendiri tidak mahu memikirkan mengenai perkara itu.

Dari sudut matematik, Razgatlioglu, perlu mengutip sekurang-kurangnya 36 mata lebih banyak daripada pencabar utama, Nicolo Bulega, dalam tiga perlumbaan di Estoril minggu ini untuk mengelak penentuan juara ditentukan di Jerez minggu depan.

Begitupun, Razgatlioglu menegaskan dia tidak mengharapkan Bulega melakukan kesilapan atau mengalami masalah jentera sebaliknya, fokusnya adalah untuk berlumba secara maksimum dan cuba memenangi setiap perlumbaan.

“Semua orang bercakap tentang peluang saya, tetapi fokus sebenar mereka ialah Nicolo. Ini lumrah dalam dunia perlumbaan, segalanya boleh berlaku,” kata Razgatlioglu kepada WorldSBK.com.

“Saya tidak menunggu dia terjatuh atau enjin rosak. Saya hanya fokus pada tugas saya, berlumba dan cuba menang. Itu lebih jelas buat saya,” katanya.

Sejak pusingan 4 di Cremona Itali, kedua-dua pelumba ini konsisten menduduki dua tangga teratas dalam setiap perlumbaan yang mereka tamatkan kecuali perlumbaan Superpole di Balaton apabila Bulega membuat pilihan tayar yang kurang tepat dan menamatkan saingan di luar kelompok 10 terbaik.

Razgatlioglu turut mengakui bahawa jika dia berjaya menamatkan saingan sebagai juara di Estoril, ia akan memberinya ketenangan menjelang pusingan terakhir di Jerez.

Tetapi matlamat utamanya kekal mencatat kemenangan hatrik di Estoril, sesuatu yang gagal dicapai tahun lalu apabila Bulega menewaskannya dalam perlumbaan Superpole.

“Kalau menang, saya akan ke Jerez dengan lebih tenang. Tapi buat masa ini, saya hanya fikir tentang Estoril. Tahun lepas saya gagal buat hatrik, jadi kali ini itu adalah sasaran utama saya,” katanya.