TOPRAK Razgatlioglu Tak Jadi Pergi MotoGP 2025

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

7/4/20241 min read

SENSASI WSBK Turki, Toprak Razgatlioglu sah tidak akan beraksi di pentas MotoGP musim depan apabila membuat 'Pusingan-U' dan memutuskan untuk kekal di Kejuaraan Superbike Dunia (WSBK).

Perkembangan itu sekali lagi diumumkan oleh pengurusnya, Kenan Sofuoglu yang sebelum ini turut menyatakan juara dunia WorldSBK 2021 akan beraksi di MotoGP musim depan.

Razgatlioglu meninggalkan Yamaha menyertai BMW Motorrad musim ini dengan kontrak dua tahun dan kehadirannya sudah pun menunjukkan hasil yang menyaksikan pengeluar Jerman itu kini menjadi pencabar utama kepada Ducati.

Dan menurut Sofuoglu, tindakan 'Pusingan-U' itu dibuat selepas BMW tidak bersetuju dengan keputusan berkenaan.

"Saya melihat beberapa pasukan satelit dari MotoGP bercakap mengenai Toprak," kata Sofuoglu memetik laporan Speedweek. "Tetapi kami tidak pernah menghubungi pasukan satelit.

"Beberapa pasukan 'kilang' menunjukkan minat terhadap Toprak bagi musim 2025, dan jika ada peluang mereka mahukan Toprak.

"Tetapi kami mempunyai kontrak dua tahun bersama BMW. Toprak dan saya bersetuju yang kami hanya akan pergi ke MotoGP jika BMW bersetuju mengenainya. Kami tidak mahu melanggar kontrak kami.

"Kami tidak mahu bergaduh, kami sayangkan BMW dan sudah pun mencapai kejayaan yang hebat bersama-sama. Kami gembira dan mahu meneruskan hubungan ini lebih panjang.

"Kami sudah pun merancang banyak pelan bagi 2025 dan menyediakan segala-galanya untuk Toprak jadi dia gembira. Pasti sesuatu yang tidak bagus jika kami berputus asa.

"Kerana itu mengapa saya dan Toprak membuat keputusan yang kami akan kekal 100 peratus di Kejuaraan Superbike Dunia musim depan dan ia jelas ketika ini.

"Kami amat gembira untuk meneruskan kerjasama kami. Sudah tentu Toprak mahu berada di MotoGP tetapi ia hanya boleh berlaku pada 2026. Kami tidak mahu hubungan kami dengan pengeluar berakhir dengan buruk.

"Kami mempunyai sejarah dengan Kawasaki yang berakhir dengan cukup cantik. Perkara yang sama berlaku kepada Yamaha. Dan perkara itu akan berlaku dengan BMW juga.

"Ada minat daripada pasukan-pasukan MotoGP terhadap Toprak pada 2026. Tetapi kita akan lihat bagaimana ia berlaku musim ini dan kemudian, kita akan kembali bercerita mengenai masa depan. Sehingga itu, kami akan meneruskan perjalanan kami bersama BMW."