TOPRAK Razgatlioglu Tak Tertekan Aksi di Jerez
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
10/17/20241 min read


TOPRAK Razgatlioglu mengakui tidak tertekan mengharungi perlumbaan penutup tirai Kejuaraan Superbike Dunia (WSBK) 2024 di Jerez, Sepanyol sekalipun mengakui Ducati mempunyai 'kelebihan' di litar berkenaan.
Terlepas mengesahkan kejuaraan dunia WorldSBK lebih awal di Estoril, Portugal minggu lalu, pelumba bintang Turki itu tiba di Jerez dengan jurang agak besar 46 mata berbanding pencabar terdekatnya.
Dan jika kelebihan itu berjaya dikekalkan, pelumba pasukan ROkit BMW Motorrad itu akan menambah gelaran dunia WorldSBK miliknya yang pertama kali diperoleh pada 2021 bersama Yamaha.
Razgatlioglu sebelum ini tampak akan melengkapkan gelaran dunia keduanya lebih awal namun tragedi yang berlaku ketika sesi latihan bebas di Magny-Cours, Perancis menyaksikannya kehilangan banyak mata selepas terlepas dua pusingan.
Berbanding ketika ini, Razgatlioglu sebelum kemalangan memiliki kelebihan 92 mata di depan Nicolo Bulega namun prestasi baik yang ditampilkan dalam dua pusingan terakhir terus meletakkanya sebagai pendahulu.
"Sebelum kemalangan, saya berfikir yang ia nampaknya kami akan menamatkan kejuaraan tiga perlumbaan sebelum penamat, tetapi selepas kemalangan, segala-galanya berubah, semuanya hancur," kata Razgatlioglu kepada WorldSBK.com.
"Saya cuba untuk menguruskannya, tetapi kadang kala ia tidak mudah, bagi saya seperti perlumbaan di Aragon yang amat sukar, tetapi saya melakukan kerja yang bagus di sana.
"Di sini (Estoril), saya mahukan tiga kemenangan tetapi saya tewas Perlumbaan Superpole. Tetapi secara keseluruhan saya melakukan kerja yang bagus."
Dan dengan membawa kelebihan yang boleh dianggap 'selesa', Razgatlioglu menyatakan dia tidak rasa tertekan sekalipun mengakui Ducati mempunyai kelebihan di Jerez.
"Saya langsung tidak merasa tertekan, terutama untuk Jerez kerana saya mempunyai jurang yang baik dan saya hanya memerlukan kedudukan yang bagus di sana, saya tidak perlu menang.
"Tetapi saya cuba untuk melakukan yang terbaik sekali lagi di Jerez, mungkin saya akan menang di sana.
"Kesemua pelumba Ducati amat kuat di Jerez, tetapi mungkin kami kini lebih kuat kerana selepas ujian, kami meningkat dengan banyak.
"Saya sedia untuk bertarung sekali lagi. Saya hanya fokus untuk menang, tetapi jika, untuk perlumbaan terakhir, jika saya hanya memerlukan tempat kedua, ia Ok tetapi saya hanya fokus untuk menang di Jerez.
"Ia sukar tetapi saya hanya cuba melakukan yang terbaik, seperti di Aragon."
