TOPRAK Razgatlioglu Terbuka Sertai Pasukan Satelit Di MotoGP Tapi...

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

10/24/20241 min read

JUARA dunia WorldSBK 2024, Toprak Razgatlioglu bersedia menerima tawaran pasukan satelit untuk beraksi di MotoGP tetapi bersyarat.

Dan syaratnya adalah pasukan itu adalah pasukan satelit rasmi sebagai contoh pasukan Pramac Ducati yang diberikan jentera berstatus 'kilang' pada musim ini dan bukannya pasukan disertai Marc Marquez, Gresini Racing.

Malah, pelumba kelahiran Turki itu lebih rela untuk kekal di WSBK berbanding menyertai MotoGP seandainya tawaran seperti itu tidak diperoleh.

"Pada 2026, kami mahu pergi ke MotoGP, itu adalah sasaran kami," kata Pengurus Razgatlioglu, Kenan Sofuoglu memetik laporan GPOne.

"Kami akan meneliti semua peluang yang ada. Jika kami tidak memperoleh proposal yang betul kami mungkin akan kekal di kejuaraan ini.

"Ketika ini BMW adalah keutamaan kami tetapi kami masih tidak tahu apa yang akan berlaku selepas 2025.

"Kami harus melihat dulu apa yang kami ada dan kemudian kami akan melihat apa yang perlu dilakukan.

"Kami mahu pakej 'kilang' dan kontrak bersama pasukan 'kilang', sebagai contoh Pramac dengan Jorge Martin. Kami tidak berminat dengan perjanjian seperti Marc Marquez di Gresini.

"Saya berkata demikian kerana Marc mempunyai sokongan yang hebat dan kekuatan di belakangnya, manakala kami di Turki tidak mempunyai penajaan, kami bersendirian dari sudut sokongan."

Seperti Marquez yang menyertai Ducati dari Honda, Razgatlioglu menyertai BMW Motorrad daripada Yamaha pada musim ini dan menariknya, berjaya menjulang gelaran dunia.