TOPRAK Razgatlioglu Tersisih Aksi WorldSBK Di Magny-Cours

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

9/7/20241 min read

TOPRAK Razgatlioglu disahkan tidak cergas untuk beraksi di Pusingan 8 WorldSBK Kejuaraan Superbike Dunia (WSBK) 2024 di Magny-Cours, Perancis susulan kecederaan yang dihadapinya ketika sesi latihan 2, semalam.

Selepas melalui ujian susulan, pelumba kelahiran Turki itu didapati mengalami 'mild traumatic pneumothorax' yang membuatkan minggunya di Perancis berakhir, menurut pegawai rasmi WorldSBK.

Insiden yang dialami Razgatlioglu itu pada selekoh kedua terakhir sememangnya cukup ngeri dan berpotensi mengundang tragedi.

Selepas terjatuh daripada jenteranya, Razgatlioglu terseret sebelum menghentam dinding keselamatan litar dengan kelajuan agak dan impak agak kuat.

Begitupun, Razgatlioglu yang kemudian berada di seberang litar tidak pengsan dan berjaya bangkit sambil dibantu petugas litar di Magny-Cours.

Pelumba berusia 27 tahun itu pada awalnya memberikan petanda positif dia masih mampu berlumba tetapi ujian di Hospital Moulins Hospital menyaksikan kempennya di Perancis berakhir.

Ketiadaan juara dunia WorldSBK 2021 bersama Yamaha itu turut menyaksikan rekod kemenangan berturut-turutnya berakhir.

Namun sekalipun tidak berlumba dalam ketiga-tiga perlumbaan di Perancis, Razgatlioglu masih memegang status sebagai pendahulu kejuaraan sejurus Pusingan 8 berakhir susulan kelebihan besar 92 mata yang dimilikinya di puncak carta kejuaraan WorldSBK ketika ini.