TRACKHOUSE Aprilia MotoGP Kekal Khidmat Raul Fernandez
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
7/23/20241 min read


PASUKAN satelit Aprilia di MotoGP, Trackhouse Racing melanjutkan kontrak pelumbanya, Raul Fernandez yang menyaksikan bekas juara dunia Moto2 itu akan kekal bersama pasukan 'pecahan' RNF itu bagi musim 2025 dan 2026.
Pengumuman mengenai lanjutan kontrak itu diumumkan oleh pasukan itu yang masih lagi berteka-teki mengenai satu lagi slot pada musim depan pada hari ini.
Selepas sembilan pusingan MotoGP 2024 berlangsung, Fernandez yang menjadi satu-satunya pelumba dalam kem Aprilia menunggang jentera Aprilia RS-GP23 musim ini mengisi tangga ke-14 carta kedudukan pelumba.
Begitupun, pelumba dari Sepanyol itu konsisten berada dalam posisi kedudukan mata dalam tujuh perlumbaan berturut-turut termasuk meraih barisan hadapan di GP Jerman di Sachsenring.
Dan ia nampaknya sudah mencukupi untuk Trackhouse dan Aprilia untuk mengesahkan tempat Fernandez di grid MotoGP 2025.
Aprilia sebelum ini sudah pun melengkapkan tempat bagi pasukan 'kilangnya' dengan mengikat dua pelumba berbakat besar daripada Ducati, Jorge Martin dan Marco Bezecchi.
"Saya amat gembira untuk kekal bersama Trackhouse Racing MotoGP," kata Fernandez. "Itu yang kami semua mahukan, projek baharu ini, bersama Justin (Marks) dan Davide (Brivio), ia hebat dan mereka sudah membina pasukan yang amat bagus.
"Saya amat gembira mendengar perancangan mereka untuk masa depan kerana mereka mempunyai idea yang jelas apa yang mereka mahukan dan untuk saya, bermula tahun baru, keutamaan saya adalah untuk cuba kekal bersama pasukan.
"Pada akhirnya, saya berada di sini untuk dua tahun berikutnya yang membuatkan saya amat berpuas hati tetapi sudah tentu, ia juga bermakna banyak kerja yang perlu dibuat.
"Kami akan memiliki kelengkapan 'factory' yang penuh pada 2025 dan 2026, jelas ia perkara yang hebat dan ketika ini, kami bersedia untuk memulakan perjalanan dengan jentera baharu di pertangahan tahun, jadi kami akan menggunakan perkara ini untuk melakukan persediaan bagi tahun depan."
Sebagai rekod, Fernandez akhirnya diberikan jentera Aprilia RS-GP spesifikasi terkini 2024 bermula di Silverstone pada bulan depan.
