TRACKHOUSE Aprilia Perkenalkan Liveri Musim 2026, Bukan 1, Tapi 2 Corak!

Seperti musim lalu, Trackhouse Aprilia akan mempertaruhkan gandingan pelumba dari Sepanyol, Raul Fernandez dan pelumba Jepun, Ai Ogura yang kedua-duanya tampil dengan prestasi mengujakan pada musim lalu

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

1/21/20261 min read

PASUKAN satelit Aprilia, Trackhouse Aprilia menjadi firma seterusnya yang memperkenalkan jentera dan liveri baharu bagi kempen MotoGP 2026 dan menariknya, bukan satu tetapi dua rekaan termasuk corak Gulf.

Seperti musim lalu, pasukan itu akan mempertaruhkan gandingan pelumba dari Sepanyol, Raul Fernandez dan pelumba Jepun, Ai Ogura yang kedua-duanya tampil dengan prestasi mengujakan pada musim lalu.

Pelancaran juga berlangsung unik dengan kedua-dua pelumba tampil dengan gaya unik apabila mengenakan kot makmal putih sebelum mendedahkan jentera Aprilia RS-GP masing-masing.

Fernandez memperlihatkan rekaan lebih gelap dengan kemaskini warna biru dan kuning yang menjadi identiti Trackhouse manakala Ogura tampil dengan liveri khas Gulf yang pernah digunakan pada beberapa perlumbaan tahun lalu.

Pada musim 2026, liveri Gulf itu akan digunakan di Grand Prix Thailand, Brazil, Mugello, Indonesia dan Malaysia – satu perlumbaan lebih banyak berbanding tahun 2025.

Bagaimanapun, Trackhouse masih belum mempunyai penaja utama sepenuh masa bagi kempen MotoGP ketiga mereka, meskipun mencatat kemenangan sulung bersama Fernandez di Phillip Island dan menamatkan musim dengan kedudukan kedua di Valencia.

Fernandez menamatkan musim lalu di kedudukan ke-10 keseluruhan – pencapaian terbaik dalam kariernya – manakala Ogura terpaksa berpuas hati di tempat ke-16 selepas bergelut dengan kecederaan di Silverstone dan Misano.

Kedua-dua pelumba akan kembali menggunakan jentera Aprilia RS-GP spesifikasi kilang untuk musim terakhir era enjin 1,000 cc dengan tayar Michelin, dengan ujian rasmi dijadualkan berlangsung di Sepang pada 3-5 Februari ini.