TRACKHOUSE Aprilia Rasmi Ikat Enea Bastianini 2027
Enea Bastianini yang beraksi bersama pasukan Tech3 KTM setakat ini sudah meraih enam kemenangan dalam kempen MotoGP dan menandatangani kontrak selama dua tahun dan bakal bergandingan bersama Raul Fernandez di Trackhouse Aprilia
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
8/24/20261 min read


PASUKAN satelit Aprilia, Trackhouse Aprilia secara rasminya mengesahkan pelumba Itali, Enea Bastianini melengkapkan barisan pelumba mereka bagi mengharungi saingan Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) musim 2027.
Pelumba yang sudah meraih enam kemenangan di kelas perdana dan beraksi bersama pasukan Tech3 KTM itu menandatangani kontrak selama dua tahun dan bakal bergandingan bersama Raul Fernandez.
Trackhouse Aprilia terpaksa memburu pelumba baharu selepas pelumba Jepun, Ai Ogura memilih untuk menyertai pasukan 'kilang' Yamaha dan bergandingan bersama Jorge Martin bagi kempen 2027.
Sebelum pengumuman rasmi ini dibuat menjelang Grand Prix (GP) Aragon hujung minggu ini, spekulasi mengenai masa depan Bastianini bertiup kencang dengan namanya disebut-sebut sebagai pilihan utama untuk mengisi kekosongan jentera yang ditinggalkan Ogura.
Bastianini dalam satu kenyataan pasukan meluahkan rasa teruja untuk memulakan cabaran baharu bersama skuad Trackhouse Aprilia bagi dua musim kejuaraan yang akan datang.
"Bermula dengan sesi ujian di Valencia tahun ini, ia akan menjadi satu cabaran baharu yang sebenar buat saya memandangkan kita bakal melangkah ke era baharu dengan jentera, tayar serta peraturan yang serba baharu.
"Oleh itu, saya sangat gembira dapat membawa pengalaman serta semangat juang ke Trackhouse agar kami dapat membangunkan jentera Aprilia RS-GP baharu ini bersama-sama," katanya.
Bastianini turut memuji peningkatan prestasi Trackhouse Aprilai dan bertekad untuk terus mengekalkan momentum cemerlang berkenaan.
"Pasukan ini sudah berkembang dengan sangat pesat sepanjang 2026 dan kini menjadi antara pencabar kejuaraan. Sudah pasti saya akan berikan yang terbaik untuk memastikan kami kekal berada di puncak," katanya.

