TRACKHOUSE Racing Rasmi Ambil Alih 'Tugas' RNF Pasukan Satelit Aprilia di MotoGP 2024

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

12/6/20231 min read

FIRMA berkaitan perlumbaan Amerika Syarikat, Trackhouse Racing secara rasmi mengambil alih tugas RNF Racing sebagai pasukan satelit Aprilia di grid MotoGP 2024.

Diperkenalkan secara rasmi dalam satu majlis, semalam, pasukan itu 'memasuki' MotoGP susulan masalah yang dihadapi RNF Racing yang dimiliki rakyat Malaysia, Datuk Razlan Razali.

Razlan ketika GP Valencia 2023 mengumumkan pengunduran dirinya daripada pasukan itu atas beberapa masalah termasuk membabitkan pemilik bersama, CryptoData.

Susulan itu, FIM, IRTA dan promoter, Dorna Sports melucutkan hak pasukan itu untuk bertanding selepas didakwa melakukan pelbagai pelanggaran berulang terhadap Perjanjian Penyertaan yang merosakkan imej kejuaraan itu.

Sebagai pasukan daripada negara 'Uncle Sam', penampilan jentera RS-GP Aprilia pasukan itu dipadatkan dengan penggunaan corak grafik 'bintang dan berjalur' berwarna merah, biru dan putih seakan bendera Amerika Syarikat.

Lebih menarik, ia turut mengambil inspirasi daripada jentera yang digunakan legenda MotoGP negara itu, Nicky Hayden ketika sesi ujian pada 2008.

Kepada yang tak tahu, Trackhouse Racing adalah sebahagian daripada syarikat berasaskan hiburan, Trackhouse Entertainment Group.

Ia adalah syarikat milik bersama penyanyi rap terkenal 'PitBull' dan usahawan Justin Marks.

Dalam arena permotoran, Trackhouse Racing memulakan perjalanan mereka dengan menyertai perlumbaan empat roda Nascar.

Selain menjadi pasukan satelit kepada Aprilia, tiada perubahan membabitkan pelumba dengan pasukan itu mengekalkan kedua-dua pelumbanya, Raul Fernandez dan Miguel Oliveira.