TRIO Azroy, KIP, Afif Kekal Penguasaan Pada Perlumbaan 2 MSBK Di Sepang
Azroy Hakeem Anuar, Khairul Idham Pawi dan Ahmad Afif Amran - mengekalkan dominasi apabila menjuarai Perlumbaan 2 dalam kelas masing-masing pada Pusingan 2 Kejuaraan Superbike Malaysia (MSBK) 2025 di Litar Antarabangsa Sepang PETRONAS
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
7/6/20252 min read


TIGA pelumba - Azroy Hakeem Anuar, Khairul Idham Pawi dan Ahmad Afif Amran - mengekalkan dominasi apabila menjuarai Perlumbaan 2 dalam kelas masing-masing pada Pusingan 2 Kejuaraan Superbike Malaysia (MSBK) 2025 di Litar Antarabangsa Sepang PETRONAS, hari ini.
Kejayaan itu mengulangi kemenangan yang diperoleh pada Perlumbaan 1 yang berlangsung pada Sabtu.
Pelumba Honda Racing Malaysia, Azroy menjuarai perlumbaan kelas elit, MSBK1000 dengan Khairul Idham atau lebih dikenali sebagai KIP dan turut beraksi bersama Honda Racing Malaysia menakluk kelas MSBK600.
Afif daripada pasukan Superfast JRT x Rapido menjuarai kelas MSBK250.
Dalam kelas MSBK1000, persaingan sengit terus ditampilkan tiga pelumba - Azroy, Kasma Daniel Kasmayuddin (Hong Leong Yamaha Malaysia) seorang lagi pelumba Honda Racing Malaysia, Md Helmi Azman sehingga penghujung saingan.
Pelumba pasukan AMI Suzuki Motorsports, Adam Norrodin cuba memberikan cabaran di awal perlumbaan apabila berada di tempat ketiga pada satu ketika tetapi tidak berjaya mengekalkan posisi berkenaan.
Saling bertukar kedudukan sebagai pendahulu bersama Kasma, situasi yang mirip Perlumbaan 1 berulang apabila Azroy menggunakan selekoh terakhir untuk melepasi garisan penamat sebagai juara.
"Saya hanya cuba menekan diri saya untuk melebihi had saya ketika perlumbaan. Saya menjadikan perlumbaan ini sebagai medan latihan yang bagus di mana saya boleh mencuba beberapa perkara baharu untuk menyediakan diri saya untuk perlumbaan lebih besar iaitu Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) pada minggu depan di Jepun," kata Azroy.
"Saya akan menggunalkan pengalaman yang saya dapat di sini."
Sementara itu, KIP yang juga bekas pelumba Moto2 dan WorldSSP negara sekali lagi tampak seperti tidak mampu dicabar dalam kelas MSBK600 dengan kemenangan cukup meyakinkan.
Sekali pun cuba dicabar rakan sepasukannya, Muhd Irfan Haykhal Amidi di awal perlumbaan, kemalangan yang menimpa pelumba muda negara itu menyaksikan KIP mudah melepasi garisan penamat sebagai juara dengan pelumba Vietnam, Cao Viet Nam (Honda Racing Vietnam) kedua dan pelumba Hong Leong Yamaha Malaysia, Farres Putra Mohd Fadhil melengkapkan kedudukan podium.
"Keadaan litar lebih panas pada hari ini berbanding semalam, jadi saya fokus kepada menguruskan rentak kelajuan saya untuk kekal di depan. Saya tidak mengulangi kesilapan pada Puisngan 1," kata KIP.
"Saya gembira dapat mengawal situasi dan memberikan tekanan jika ada pelumba lain mencabar saya. Saya amat gembira."
Dalam kelas MSBK250, pelumba berpengalaman negara, Afif turut diberikan cabaran untuk meraih kemenangan dengan kedudukan pendahulu sering berubah.
Begitupun, strategi yang digunakan Afif berhasil apabila dia berjaya menghalang tekanan pelumba Indinesia, Irfan Ardiansyah dan dibezakan hanya 0.111 saat di garisan penamat.
"Ini benar-benar keputusan yang baik untuk saya. Saya tidak menjangka untuk memenangi kedua-dua perlumbaan kerana saya tahun Irfan dan kesemua pelumba lain amat berpengalaman dan mempunyai skil yang bagus," kata Afif.
Keputusan Perlumbaan 2 MSBK1000
Azroy Hakeem Anuar - HONDA RACING MALAYSIA (21’14.641s)
Kasma Daniel Kasmayudin - HONG LEONG YAMAHA MALAYSIA (21’14.871s)
Md Helmi Azman - HONDA RACING MALAYSIA (21’15.467s)
Adam Norrodin - AMI SUZUKI MOTORSPORT (21’25.976s)
Lachlan Epis - SAVITAR TEAM ASIA (21’40.782s)
Keputusan Perlumbaan 2 MSBK600
Khairul Idham Pawi – HONDA RACING MALAYSIA (22’11.685s)
Cao Viet Nam – HONDA RACING VIETNAM TEAM (22’22.060s)
Farres Putra Mohd Fadhil – HONG LEONG YAMAHA MALAYSIA (22’22.995s)
Muhd Irfan Haykhal Amidi – HONDA RACING MALAYSIA (23’17.800s)
Zhou FengLong – China (23’25.487s)
Keputusan Perlumbaan 2 MSBK250
Ahmad Afif Amran – SUPERFAST JRT X RAPIDO (19’37.822s)
Irfan Ardiansyah – MAEZTRO NWN SCK HONDA RACING (19’37.933s)
Md Akid Aziz – SUPERFAST JRT X RAPIDO (19’38.215s)
Nguyen Huu Tri – HONDA RACING VIETNAM TEAM (19’39.303s)
Nguyen Ton Anh Phu – HONDA RACING VIETNAM TEAM (19’39.904s)
*Kedudukan 5 terbaik
