TRIO Moto4 Asia Cup Negara Teruja Nak Gegar Thailand
Pelumba yang mengibar cabaran negara dalam kempen Moto4 Asia Cup pada musim ini adalah juara ESBK Talent 2025 Qabil Irfan Azlan, Muhammad Naqib Rifqi Zulhelmi dan Qayyim Razin Razali
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
2/24/20261 min read


TIGA pelumba muda negara, Qabil Irfan Azlan, Muhammad Naqib Rifqi Zulhelmi dan Qayyim Razin Razali sudah bersedia mengibar cabaran pada pusingan pembukaan Moto4 Asia Cup 2026 hujung minggu ini di Litar Buriram, Thailand.
Kempen musim ini dijangka lebih sengit apabila grid kali ini dibarisi 20 pelumba dari enam negara, termasuk 15 muka baharu yang membawa misi besar untuk menempah nama di pentas Asia. ]
Mengetuai cabaran negara ialah juara ESBK Talent dan FIM MiniGP Malaysia tahun lalu, Qabil Irfan Azlan selepas berjaya menunjukkan prestasi memberangsangkan sewaktu sesi ujian rasmi di Litar Sepang apabila mencatat masa kedua terpantas keseluruhan.
"Sesi ujian di Sepang memberikan petanda yang amat positif menjelang pusingan perlumbaan Moto4 Asia Cup di Thailand nanti. Secara keseluruhan saya sudah bersedia selepas melalui persiapan yang cukup baik di Malaysia dan saya bertekad melakukan yang terbaik pada Pusingan 1 nanti demi rakyat Malaysia,” kata Qabil.
Naqib Rifqi dalam pada itu menyifatkan kelebihan pengalaman beraksi di Litar Buriram menerusi penyertaan sebelum ini dalam Thailand Talent Cup dianggap aset penting untuk mencari pelarasan terbaik dan merangka strategi perlumbaan.
"Alhamdulillah, saya dapat menyesuaikan diri dengan jentera dengan cepat untuk mendapatkan pelarasan terbaik. Dari segi saingan, ramai pelumba yang laju dalam kancah perlumbaan Moto4 Asia Cup ini. Saya tidak boleh ambil mudah, perlu kekal fokus dan teruskan latihan fizikal untuk kekal bersaing dalam kelompok hadapan. Untuk perlumbaan pertama ini, saya mahu berada di kedudukan lima terbaik dan Insya-Allah menaiki podium,” ujar Naqib.
Sementara itu, Qayyim Razin berazam untuk tampil konsisten sejak sesi latihan dan memberi kejutan dengan memburu kedudukan podium atau sekurang‑kurangnya lima terbaik pada perlumbaan sulungnya.
"Saya sangat teruja untuk memulakan pusingan pertama ini memandangkan ini adalah penampilan sulung saya di Asia. Ujian di Sepang menunjukkan banyak peningkatan terutamanya dari segi catatan masa dan tunggangan. Alhamdulillah, saya dapat menyesuaikan diri dengan jentera dengan cepat untuk mendapatkan pelarasan terbaik."

