TRIO WSBK Negara Bergelut Di Aragon

Pusingan 10 kempen WSBK ditamatkan tiga pelumba negara - Zaqhwan Zaidi yang beraksi dalam kelas WorldSBK, Syarifuddin Azman dan Ibrahim Norrodin (WorldSSP) tanpa sebarang pungutan mata

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

9/29/20251 min read

KEBANGKITAN yang diharapkan daripada tiga pelumba negara yang beraksi pada Pusingan 10 kempen WSBK 2025 bersama pasukan PETRONAS MIE Racing Honda di Aragon, Sepanyol tidak kesampaian.

Beraksi dalam kelas elit WorldSBK, Zaqhwan Zaidi menamatkan Perlumbaan Superpole di kedudukan ke-19 sebelum terbabit dalam kemalangan ketika Perlumbaan 2.

Zaqhwan berkata, pasukannya sudah mencuba pelbagai pendekatan bagi mendapatkan prestasi tunggangan terbaik sepanjang hujung minggu perlumbaan tetapi ia masih belum mencukupi.

"Kami melakukan perubahan untuk perlumbaan panjang dan ia ternyata memberi kesan positif. Saya rasa lebih selesa dan lebih mampu mengekalkan rentak berbanding Perlumbaan 1. Mungkin suhu yang sedikit lebih rendah hari ini turut membantu cengkaman tayar.

“Malangnya, saya rasa hentakan di satu titik dan terjatuh di Selekoh 9. Saya cuba kawal semula tetapi tidak berjaya. Bagaimanapun, kami tetap menunjukkan kemajuan dan mencapai sasaran kecil yang ditetapkan,” katanya.

Sementara itu, dua lagi wakil negara yang beraksi dalam kelas WorldSSP, Syarifuddin Azman dan Ibrahim Norrodin turut menamatkan Perlumbaan 2 dengan masing-masing di tempat ke-22 dan ke-28.

Syarifuddin atau lebih dikenali sebagai Damok turut beraksi secara sepenuh musim manakala Ibrahim tampil sebagai pelumba wildcard.

Sekalipun tidak mencapai keputusan yang diharapkan, Damok berterima kasih kepada pasukannya kerana bekerja keras untuk membantunya lebih yakin di atas jentera.

"Seperti semalam, agak sukar di laluan lurus, tetapi saya cuba kekalkan rentak kelajuan dan hari ini lebih laju berbanding Perlumbaan 1.

“Saya agak gembira dapat menamatkan saingan di tempat ke-22, namun kami perlu terus bekerja keras agar dapat memperbaiki keputusan,” kata Damok.

Bagi Ibrahim, perubahan pada jentera nyata memberi impak positif terhadap prestasinya.

“Juruanalisis data saya sudah membuat perubahan pada jentera berbanding Perlumbaan 1 dan saya sudah dapat rasakan perbezaannya semasa sesi pemanas badan.

“Saya berjaya membuat permulaan yang baik dan jelas terasa tetapan kali ini jauh lebih baik. Saya juga berjaya mencatat masa pusingan terpantas sepanjang hujung minggu,” katanya.