TRIPLE Eight JMR Raih Tempat Ketiga Perlumbaan 2 GT World Challenge Asia 2024 Di Sepang

SUKAN PERMOTORAN 4 RODA

4/21/20241 min read

TUNKU Abu Bakar Sultan Ibrahim dan rakan sepasukannya, Jordan Love di pasukan Triple Eight JMR menamatkan perlumbaan di tangga ketiga pada Perlumbaan 2 pusingan pembuka tirai GT World Challenge Asia 2024 dalam kelas Pro-Am di Sepang, hari ini.

Memandu jentera Mercedes-AMG GT3 EVO, keputusan yang diraih pada Perlumbaan 2 itu sedikit mengubati keputusan pada Perlumbaan 1 semalam yang berlangsung dalam keadaan cuaca tidak menentu.

Tidak seperti semalam, keadaan cuaca baik di Sepang, hari ini dan ia membenarkan pasukan itu tampil dengan prestasi lebih mengujakan.

"Kami melakukan kemajuan yang besar pada hari ini berbanding semalam, jadi saya fikir ia adalah trajektori yang baik untuk keseluruhan musim ini," jata Tunku Abu Bakar.

Bermula di petak ke-7, Love yang memulakan perlumbaan berjaya mengekalkan kedudukannya di tangga kelima kelas berkenaan sebelum diambil alih oleh Tunku Abu Bakar.

Dan sekalipun melepasi garisan penamat di kedudukan ke-4, penalti yang dikenakan kepada pasukan Absolute Racing menyaksikan Triple Eight JMR dinaikkan pangkat ke tangga ketiga Pro-Am.

Pemenang Perlumbaan 2 adalah pasukan Origine Motorsports yang dipandu Lu Wei dan Heirich Laurin manakala tempat kedua menjadi milik pasukan Craft Bamboo Racing yang dipacu Cao Qi dan Morad Daniel.

Lebih menarik, kejayaan berkenaan turut disaksikan oleh Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim serta Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah yang turut berkenan berangkat ke Litar Antarabangsa Sepang bagi menyaksikan perlumbaan berkenaan.

Pusingan 2 GT World Challenge Asia 2024 dijadual berlangsung di Buriram, Thailand pada 10 hingga 12 Mei depan.