TRIPLE Eight JMR Tutup Tirai ALMS GT 2023/24 Dengan Kemenangan Berganda Di Yas Marina

SUKAN PERMOTORAN 4 RODA

2/12/20241 min read

PASUKAN Triple Eight JMR mencipta kejayaan membanggakan selepas melakar kemenangan berganda pada aksi penutup tirai kejuaraan Asian Le Mans (ALMS) di Litar Yas Marina, Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu (UAE), semalam.

Menggunakan jentera Mercedes-AMG GT3 EVO, pasukan Triple Eight JMR seperti diketahui dipacu Tunku Panglima Johor Tunku Abdul Rahman Sultan Ibrahim.

Selain Tunku Abdul Rahman, pasukan itu turut dibarisi dua pelumba iaitu Luca Stolz dan Jordan Love.

Pada perlumbaan Pusingan 4, pasukan Triple Eight JMR menamatkan perlumbaan sebagai naib juara namun dinaikkan pangkat selepas pemenang, Leipert Motorsport, pasukan yang menggunakan Lamborghini Huracan GT3 EVO 2 dikenakan penalti.

Dan pasukan itu kemudian menampilkan prestasi sebenar apabila memenangi Perlumbaan 5 yang juga aksi penutup tirai musim 2023/2024 itu.

Berbangga dengan kejayaan yang dicapai, Tunku Abdul Rahman mengucapkan terima kasih kepada seluruh pasukan yang sudah bekerja keras sepanjang musim ini.

Sebagai info, kejuaraan ALMS GT 2023/2024 mempunyai lima perlumbaan dengan dua di Sepang (4H of Sepang) pada bulan Disember lalu diikuti satu perlumbaan Dubai (4H of Dubai) dan diakhiri dengan dua perlumbaan di Litar Yas Marina Abu Dhabi.

Secara keseluruhan, pasukan Triple Eight menamatkan saingan di tangga kedua keseluruhan ALMS GT selepas mengutip 74 mata, hanya ketinggalan dua mata berbanding juara, Pura Rxcing yang menggunakan Porsche 911 GT3 R.

Untuk kategori pelumba, Tunku Abdul Rahman menamatkan saingan di tangga kedua selepas mengumpul keseluruhan 74 mata, berkongsi kedudukan dengan rakan sepasukannya, Lica Stolz.

Kedudukan pertama dikongsi tiga pelumba iaitu Alex Malykhin, Joel Sturm dan Klaus Bachler selepas ketiga-tiganya mengumpul 76 mata.