TRIUMPH Daytona 660 (2024) Buat Debut Global, 94 Hp!

TERKINI

1/10/20242 min read

TRIUMPH akhirnya memperkenalkan secara rasmi model 'Sportbike' aras tengah terbaharunya, Triumph Daytona 660 (2024) - model ketiga yang dipadankan dengan platform trenkuasa 3 silinder 660 cc jenama UK itu.

Tetapi tidak seperti dua 'Saudaranya' Triumph Trident atau Triumph Tiger Sport 660 yang menggunakan trenkuasa sama, menariknya Triumph Daytona 660 seperti namanya diberi talaan berbeza dan lebih berkuasa.

Hasilnya, trenkuasa yang dipadankan kepada motosikal ini iaitu enjin 660 cc, 3 Silinder Sebaris, 12 Injap, Penyejuk Cecair, Suntikan Bahan Api, DOHC menghasilkan kuasa setinggi 94 Hp pada 11,250 rpm.

Sebagai info, trenkuasa yang sama dipadankan kepada Triumph Trident 660 dan Triumph Tiger Sport 660 menghasilkan kuasa 81 Hp.

Menurut Triumph, penambahan kuasa kepada Daytona 660 adalah hasil daripada penggunaan ‘Triple throttle body’ berbanding ‘Single throttle body’ (Trident 660) selain penggunaan injap ekzos lebih besar, 'Header' ekzos 3-1, ‘Cylinder head’, ‘camshaft’ serta ‘crankshaft’ yang baharu.

Selain kuasa, angka tork juga meningkat dengan Triumph Daytona 660 menghasilkan tork 69 Nm pada 8,250 rpm.

Dan apa lebih menarik, ia boleh dikerah ke angka ‘redline’ 12,650 rpm.

Sistem transmisi yang digunakan adalah 6 kelajuan klac manual lengkap dengan klac ‘assist & slipper’.

Dari sudut rekaan, Triumph Daytona 660 mengambil inspirasi jentera 'Sportbike' era 90-an yang nampak kurang 'garang' dengan ciri ergonomik yang tidak begitu agresif.

Tidak seperti Triumph Trident 660 yang nampak sedikit 'pendek', Triumph Daytona 660 sekalipun menggunakan kerangka yang sama nampak lebih panjang dengan jarak antara tayar adalah 1,425 mm berbanding Trident (1,402 mm).

Sistem suspensi menggunakan fork USD Showa SFF-Bp 41 mm (tak boleh laras) dan penyerap hentak tunggal Showa (preload).

Di bahagian brek, Triumph Daytona 660 dipadankan dengan cakera berkembar bersaiz 310 mm dengan kaliper radial 4 Piston (depan) dan cakera tunggal 220 mm keliper 1 Piston (belakang) lengkap Sistem Brek Anti-Kunci (ABS).

Dari sudut elektronik, Triumph Daytona 660 (2024) memiliki tiga mod tunggangan (Road, Sport dan Rain) dengan Kawalan Traksi datang secara standard.

Informasi dan ciri-ciri lain adalah seperti sistem lampu LED penuh, penggunaan panel meter gabungan digital LCD dan TFT mirip Tiger Sport 660, kapasiti bahan api 14 liter, ketinggian pelana 810 mm dan berat 201 kg.

Ciri-ciri premium seperti 'Quickshifter', grip pemanas pula datang sebagai pilihan.

Di pasaran UK, harga permulaan yang diumumkan untuk Triumph Daytona 660 (2024) adalah £ 8,595 (RM 50,767) dan ditawarkan dengan tiga pilihan warna iaitu:

  • Snowdonia White/Sapphire Black

  • Satin Granite/Satin Jet Black

  • Carnival Red/Sapphire Black

Tidak diketahui sama ada Triumph Motorcycles Malaysia merancang untuk membawa Triumph Daytona 660 ke pasaran tempatan dan kami akan melaporkannya sejurus mendapat maklumat.