TRIUMPH Daytona 660 (2024) Dirasmikan Di Malaysia, RM 49.5k!

PELANCARAN

5/21/20241 min read

TRIUMPH Motor Malaysia, hari ini melancarkan model 'fairing penuh' atau 'Sportbike' jenama motosikal ikonik United Kingdom itu, Triumph Daytona 660 (2024).

Membuat kemunculan global pada Oktober tahun lalu, harga (asas) yang diumumkan untuk model yang dipacu enjin 660 cc, 3 Silinder Sebaris, 12 Injap, DOHC itu adalah RM 49,500.

Seperti diketahui, Triumph Daytona 660 adalah model ketiga dari Triumph yang dipadankan dengan platform trenkuasa 660 cc, 3 Silinder seperti Triumph Trident atau Triumph Tiger Sport 660.

Tetapi seperti segmennya, ia diberi talaan berbeza dan lebih berkuasa dengan angka kuasa dihasilkan adalah setinggi 94 Hp pada 11,250 rpm.

Sebagai perbezaan, Triumph Trident dan Triumph Tiger Sport 660 menghasilkan kuasa 81 Hp.

Selain kuasa, angka tork juga meningkat dengan Triumph Daytona 660 menghasilkan tork 69 Nm pada 8,250 rpm.

Menurut Triumph, penambahan kuasa kepada Daytona 660 adalah hasil daripada penggunaan ‘Triple throttle body’ berbanding ‘Single throttle body’ (Trident 660) selain penggunaan injap ekzos lebih besar, 'Header' ekzos 3-1, ‘Cylinder head’, ‘camshaft’ serta ‘crankshaft’ yang baharu.

Lebih menarik, ia boleh dikerah ke angka ‘redline’ 12,650 rpm.

Sistem transmisi pula adalah 6 kelajuan klac manual lengkap dengan klac ‘assist & slipper’.

Di bahagian suspensi, Triumph Daytona 660 dipadankan dengan fork USD Showa SFF-Bp 41 mm (tak boleh laras) dan penyerap hentak tunggal Showa (preload).

Untuk sistem henti, Triumph Daytona 660 dipadankan dengan cakera berkembar bersaiz 310 mm dengan kaliper radial 4 Piston (depan) dan cakera tunggal 220 mm keliper 1 Piston (belakang) lengkap Sistem Brek Anti-Kunci (ABS).

Dari sudut elektronik, Triumph Daytona 660 (2024) memiliki tiga mod tunggangan (Road, Sport dan Rain) dengan Kawalan Traksi datang secara standard.

Informasi dan ciri-ciri lain adalah seperti sistem lampu LED penuh, penggunaan panel meter gabungan digital LCD dan TFT mirip Tiger Sport 660, kapasiti bahan api 14 liter, ketinggian pelana 810 mm dan berat 201 kg.

Kepada yang berminat, Triumph Dayton 660 (2024) boleh mula dilihat di Malaysia Autoshow 2024 yang dijadual berlangsung esok (22 Mei hingga 26 Mei) depan dan akan mula tiba di cawangan pengedar pada penghujung bulan ini.