TRIUMPH Dijadual 'Hidupkan' Kembali Daytona, Pelancaran Bulan Depan

TERKINI

12/26/20231 min read

TRIUMPH menyisihkan Triumph Daytona dari barisan pengeluaran produknya tiga tahun lalu namun ada perkembangan menarik untuk peminat motosikal dalam segmen 'Sportbike' itu diperoleh, baru-baru ini.

Bukan sekadar khabar angin, pengeluar motosikal British itu dijangka akan 'menghidupkan' kembali model berkenaan.

Dan perkembangan itu dibuat menerusi imej 'teaser' yang menampakkan 'siluet' motosikal berkenaan pada hantaran media sosial rasminya.

Kali terakhir Triumph Daytona dikeluarkan daripada kilang pengeluaran di Hinckley adalah Daytona 765 Moto2 Editon, model yang dihasilkan bagi meraikan Triumph sebagai pembekal rasmi enjin Moto2 di Kejuaraan Motosikal Dunia.

Sedikit ironi, Ketua Kejuruteraan Triumph Motorcycles, Stuart Wood ketika pelancaran motosikal berkenaan menyatakan ia adalah "Daytona terakhir yang boleh dimiliki orang awam".

Sekalipun belum belum ada pengesahan rasmi daripada Triumph sendiri yang model terbaharu itu bakal menggunakan nama Daytona 660, tetapi memetik laporan Visordown, kod motosikal berkenaan sudah pun terdedah di laman web rasmi syarikat itu.

Triumph ketika ini masih mengunci mulut mengenai spesifikasi membabitkan model baharu berkenaan namun ia dijangka dipadankan dengan trenkuasa yang sama dengan Tiger Sport 660 dan Trident 660.

Justeru apa yang dijangkakan ialah Triumoh Daytona 660 berupaya menghasilkan kuasa sekitar 79 Hp dan tork 64 Nm dengan talaan dan pemetaan yang berbeza.

Dijadual dilancarkan pada 9 Januari depan, kehadiran Triumph Daytona 660 jelas akan meningkatkan persaingan dalam kelas 'Sportbike' kelas pertengahan yang ketika ini 'padat' dengan antara pencabar termasuklah Suzuki GSX-8R, Honda CBR650 adan Honda CBR750R.