TRIUMPH Hasilkan Trident Triple Tribute Edition (2024) 'Slippery Sam'
TERKINI
3/29/20241 min read
SYARIKAT pengeluar motosikal British, Triumph memperkenalkan Triumph Trident Triple Tribute Edition (2024), varian yang dihasilkan sebagai penghargaan kepada salah satu jentera lumba legendanya 'Slippery Sam'.
Kepada yang tak tahu, ‘Slippery Sam’ adalah jentera yang memacu Triumph kejayaan di pentas perlumbaan antarabangsa era-1970an khususnya di Isle of Man TT termasuk lima kemenangan berturut-turut.
Seperti biasa, sebagai model 'Tribut', antara keistimewaan Trident Triple Tribute Edition (2024) adalah di bahagian skema warna dan grafik yang mengimbau memori.
Mengambil inspirasi daripada skema warna 'Slippery Sam' Putih, Biru dan Merah, paling menarik perhatian adalah penggunaan nombor 67 yang besar di bahagian sisi tangki bahan api bersama grafik 'Triple Tribute'.
Sebagai tambahan, Triumph Trident Triple Tribute Edition (2024) turut memperoleh sistem Triumph Shift Assist (Quickshifter) dengan 'belly pan' dan 'fly screen' turut mendapatkan kemasan sama.
Selain itu, tiada perubahan membabitkan rekaan mahupun spesifikasi trenkuasa.
Seperti Triumph Trident 660, ia dipacu enjin bersesaran 660 cc, 3 Silinder Sebaris, Penyejuk Cecair, Suntikan Bahan Api, DOHC yang dipadankan dengan transmisi 6 kelajuan klac manual.
Kuasa yang dihamburkan adalah 81 PS pada 10,250 rpm dan tork 64 Nm pada 6,250 rpm.
Sejak pengenalan Triumph Trident 660 pada 2020, motosikal 'Naked' bergaya retro itu boleh dikatakan cukup popular dengan sejumlah 35,600 unit sudah dijual di seluruh dunia.
Untuk harga, Triumph Trident Triple Tribute Edition (2024) dijual pada harga £ 7,895 (RM 47,058) di UK. Di Malaysia, versi Standard Triumph Trident 660 dijual pada harga RM 43,900 (asas).