TRIUMPH Malaysia Buka Tempahan Triumph Speed 400, Scrambler 400X, Harga Jangka Atas RM 20k!

TULAR

10/6/20231 min read

TRIUMPH Motorcycle Malaysia jelas enggan menunggu lama untuk membawa masuk penawaran terbaharu jenama itu, Triumph Speed 400 dan Scrambler 400X (2023) ke pasaran tempatan dengan tempahan untuk kedua-dua model sudah pun dibuka.

Perkembangan terbaharu ini nampak selaras dengan laporan kami di MotoDotMy pada bulan lalu yang menjangkakan kedua-dua model ini berkemungkinan akan tiba dalam tempoh terdekat.

Mendapat permintaan cukup hangat terutama di India, seperti diketahui, Triumph Speed 400, Scrambler 400X dihasilkan dengan kerjasama syarikat pengeluar motosikal gergasi India, Bajaj dan Triumph.

Begitupun jangan salah sangka, enjin yang digunakan dalam platform ini tidak sama dengan Bajaj Dominar D400 atau KTM 390 namun enjin serba baharu yang dibangunkan oleh Triumph.

Mempertaruhkan gaya 'neo retro cafe racer', penghasilan Triumph Speed 400 dan Scrambler 400 X adalah antara pelan pemasaran terbaharu Triumph.

Sekalipun bukan rahsia Triumph Motor Malaysia akan membawa masuk kedua-dua model yang dihasilkan dengan platform TR-Series ini ke pasaran tempatan, tetapi perkembangan terbaharu ini memang mengujakan.

Diumumkan di laman sosial rasmi Triumph Motorcycles Malaysia, harga jangkaan untulk kedua-dua model berkenaan dikatakan bermula RM 2X,XXX.

Sekalipun ia masih dalam status jangkaan, ia pasti dapat memberi gambaran kepada sesiapa yang berkira-kira untuk mendapatkan motosikal ini.

Selain itu, Triumph Motorcycles Malaysia turut membuka tempahan yang boleh dilakukan dalam pautan ini https://forms.gle/m13b5q4ttZFUHMud9 .

Dan informasi lebih menarik adalah jangkaan ketibaan motosikal ini adalah pada Januari atau Februari tahun depan.

Mengulas ringkas trenkuasa kedua-dua model berkenaan, ia dijana enjin bersesaran 398 cc, 1 Silinder, 4 Lejang, Suntikan Bahan Api, Penyejuk Cecair dan digandingkan dengan transmisi 6 kelajuan klac manual, kuasa yang dihamburkan adalah 39.5 Hp dan tork 37 Nm.

Sekalipun dipadankan dengan trenkuasa yang sama, namun ia diberikan talaan yang berbeza sesuai dengan segmen masing-masing.