TRIUMPH Malaysia Perkenal Triumph Tiger Sport 660 (2023) Lengkap Pakej Aksesori, Harga Mula RM 56.8k!
7/31/20231 min read
TRIUMPH Malaysia bersempena acara Art of Speed Malaysia (AoS) 2023 yang baru menutup tirainya, semalam tampil memperkenalkan pakej promosi aksesori menarik untuk model 'Sport touringnya', Triumph Tiger Sport 660 (2023).
Di pasaran tempatan, Triumph Tiger Sport 660 (2023) dijual dalam dua pilihan warna - Korosi Red/Graphite dan Lucerne Blue/Sapphire Black bersama harga asas RM 50,900.
Tetapi dengan pakej promosi aksesori, motosikal ini dijual pada harga menarik bermula RM 56,800 (asas).
Dengan pakej berkenaan, pembeli akan menerima 'top-box' yang boleh memuatkan dua helmet, 'pannier', dan pelbagai lagi aksesori antaranya pelindung terotel, 'crash bar' dan lain-lain.
Dilabel antara model paling berkuasa dalam kelasnya, Triumph Tiger Sport 660 dijana trenkuasa 660 cc, 3 Silinder Sebaris, 12 Injap, 4 Lejang, Penyejuk Cecair, Suntikan Bahan Api yang digandingkan dengan transmisi 6 kelajuan klac manual lengkap dengan klac slip & assist.
Kuasa yang dihamburkan adalah 80 Hp pada 10,250 rpm dan tork 64 Nm pada 6,250 rpm.
Sebagai model moden yang menggunakan sistem 'Ride-by-wire', Triumph Tiger Sport 660 memiliki dua mod tunggangan (Road dan Rain), sistem Kawalan Traksi (boleh nyahaktif), sistem lampu LED penuh dan petunjuk lampu signal batal sendiri. Panel meter menggunakan digital TFT yang lengkap dengan Sistem My Triumph.
Menggunakan kerangka jenis keluli tubular, sistem suspensi menggunakan fork jenis terbalik (USD) Showa 41 mm di depan, dan penyerap hentak tunggal Showa RSU (belakang).
Sistem brek menggunakan cakera berkembar bersaiz 310 mm dengan kaliper Nissin 2-piston (depan) dan cakera tunggal 255 mm dengan kaliper Nissin piston tunggal (belakang) lengkap dengan Sistem Brek Anti-Kunci (ABS).
Set roda yang dipadankan adalah bersaiz 120/70-017 (depan) dan 180/55-17 (belakang) bersama rim aluminium.
Informasi lain adalah seperti ketinggian pelana 835 mm, berat 206 kg, dan kapasiti tangki minyak 17.2 liter.
Apa yang menarik, Triumph Tiger Sport 660 (2023) memiliki selang servis dianggap terbaik dalam kelasnya iaitu 16,000 km atau 12 bulan.
Jaminan yang ditawarkan oleh pengeluar adalah dua tahun tanpa had perbatuan.