TRIUMPH Motor Malaysia Kerap Tayang Iklan Speed 400, Scrambler 400X, Petanda Pelancaran Dah Dekat?

TERKINI

9/22/20231 min read

TRIUMPH Motorcycle (Global) pertengahan tahun lalu memperkenalkan dua model baharu yang dipadankan dengan enjin bersesaran 400 cc, Triumph Speed 400 dan Scrambler 400X (2023) dan seperti dijangka, sambutan diterima cukup 'hangat'.

Sekalipun dihasilkan dengan kerjasama syarikat pengeluar motosikal gergasi India, Bajaj, tetapi ia bukanlah enjin yang sama digunakan di Dominar D400 atau KTM 390 namun enjin serba baharu dari Triumph.

Tampil dengan gaya 'neo retro cafe racer', penghasilan Triumph Speed 400 dan Scrambler 400 X adalah antara pelan pemasaran terbaharu Triumph.

Menjengah segmen yang padat, begitupun kedua-dua model mendapat sambutan yang cukup menggalakkan di negara 'penghasilannya' India sehingga dikatakan Triumph India tak 'menang tangan' untuk melayan tempahan.

Di pasaran Malaysia, bukan satu rahsia Triumph Motor Malaysia akan membawa masuk kedua-dua model yang dihasilkan dengan platform TR-Series berkenaan ke pasaran tempatan.

Dan ia bukan sekadar khabar angin malah keluar dari mulut 'orang kuat' Triumph Motor sendiri yang memberitahu kedua-dua model menjadi antara perancangan syarikat itu di pasaran Malaysia.

Ia juga bukan sekadar kata-kata, namun turut berdasarkan kajian yang sudah dijalankan termasuk sesi soal jawab bersama pihak media.

Tiada jangka masa diberikan bila ia bakal tiba, begitupun Triumph Motor Malaysia tampak seperti tidak sabar untuk membawa motosikal berkenaan ke pasaran tempatan.

Ia berikutan kekerapan motosikal berkenaan diiklankan di laman sosial rasmi Triumph Motorcycle Malaysia terutama membabitkan gambar dan sebagainya.

Mengulas ringkas trenkuasa model berkenaan, ia dijana enjin bersesaran 398 cc, 1 Silinder, 4 Lejang, Suntikan Bahan Api, Penyejuk Cecair dan digandingkan dengan transmisi 6 kelajuan klac manual, kuasa yang dihamburkan adalah 39.5 Hp dan tork 37 Nm.

Sekalipun dipadankan dengan trenkuasa yang sama, namun ia diberikan talaan yang berbeza sesuai dengan segmen masing-masing.

Dalam perkembangan terbaharu, Triumph dikhabarkan akan melancarkan sebuah model edisi istimewa pada penghujung bulan ini. Tetapi dijangkakan ia bukanlah Triumph Speed 400 atau Scrambler 400X. Tetapi apa saja boleh berlaku dan kita tunggu hari kejadian nanti.