TRIUMPH Motor Malaysia Senarai Daytona 660 Dalam Katalog, Harga Bawah RM 50k?

TERKINI

3/20/20241 min read

TRIUMPH Motorcycles membuat debut global 'Sportbike' terbaharunya, Triumph Daytona 660 (2024) pada Januari lalu dan mungkin sudah ada berita menarik untuk model berkenaan di pasaran Malaysia.

Berdasarkan laman web rasmi Triumph Motorcycle Malaysia, model berkenaan sudah pun disenaraikan dalam katalog tetapi sedikit mengecewakan, tiada maklumat membabitkan tanda harga rasmi disertakan.

Sekalipun tiada pengumuman rasmi daripada Triumph Motor Malaysia setakat ini, daripada maklumat yang diperoleh, syarikat itu dikatakan tidak mahu menunggu lama untuk memperkenalkan motosikal berkenaan.

Dan ia tampak selari apabila iklan membabitkan model berkenaan tersebar di laman kumpulan media sosial menerusi wakil pengedar jenama berkenaan.

Melihat kepada informasi yang dikongsikan, Triumph Daytona 660 (2024) akan dijual pada harga RM 49,500 dan akan ditawarkan dalam tiga pilihan warna Snowdonia White/Sapphire Black, Satin Granite/Satin Jet Black dan Carnival Red/Sapphire Black.

Lebih menarik, tempahan awal juga sudah pun dibuka oleh wakil pengedar Triumph Motor Malaysia.

Mengulas ringkas trenkuasa Triumph Daytona 660 (2024), ia dipadankan dengan enjin bersesaran 660 cc, 3 Silinder, 12 Injap, Penyejuk Cecair, Suntikan Bahan Api, DOHC yang digandingkan dengan transmisi 6 kelajuan klac manual.

Ia adalah trenkuasa yang sama dengan Triumph Trident 660 namun ditala semula bagi meningkatkan kuasanya kepada 95 PS pada 11,250 rpm dan tork 69 Nm pada 8,250 rpm.

Sebagai model moden, ia turut dipadankan dengan sistem 'Ride-by-wire' yang menawarkan tiga mod tunggangan iaitu Sport, Road dan Rain, Kawalan Traksi, penggunaan lampu LED penuh, panel meter TFT.