TRIUMPH Motor Malaysia Umum Harga Triumph Speed 400, Scrambler 400X (2024), Mula RM 26.9k!

TERKINI

11/18/20231 min read

TRIUMPH Motorcycle Malaysia pada bulan lalu membuka tempahan untuk dua model terbaharu Triumph Speed 400 dan Scrambler 400X (2024) dan tak menunggu lama, teka-teki membabitkan harganya untuk pasaran tempatan dinoktahkan, hari ini.

Begitupun sedikit mengecewakan, pengumuman mengenai harga berkenaan hanya dibuat menerusi hantaran media sosial rasmi Triumph Motorcycle Malaysia.

Dan ini bermakna motosikal berkenaan berkemungkinan besar masih belum tiba di Malaysia serta tak bersedia untuk ditayangkan.

Untuk Triumph Speed 400 (2024), harga yang diumumkan adalah RM 26,900 (asas) manakala untuk Triumph Scrambler 400X (2024), harga yang didedahkan adalah RM 29,900 (asas).

Seperti diketahui, Triumph Speed 400, Scrambler 400X dihasilkan dengan kerjasama syarikat pengeluar motosikal gergasi India, Bajaj dan Triumph.

Tetapi, enjin yang digunakan dalam platform ini adalah enjin serba baharu yang dibangunkan oleh Triumph sendiri menerusi platform TR-Series dan tidak menggunakan trenkuasa yang sama dengan Bajaj Dominar D400 atau KTM 390.

Mengulas ringkas trenkuasa, kedua-dua model dijana enjin bersesaran 398 cc, 1 Silinder, 4 Lejang, Suntikan Bahan Api, Penyejuk Cecair dan digandingkan dengan transmisi 6 kelajuan klac manual, kuasa yang dihamburkan adalah 39.5 Hp dan tork 37 Nm.

Sekalipun dipadankan dengan trenkuasa yang sama, namun ia diberikan talaan yang berbeza sesuai dengan segmen masing-masing.

Dan tampil dengan gaya 'neo retro cafe racer', Triumph Speed 400 (2024) lebih berorientasikan 'on-road' manakala Scrambler 400X tampil dengan penggayaan lebih lasak, agresif serta mampu melenjan laluan 'oaff-road' ringan.

Menurut sumber yang diperoleh, jangkaan ketibaan kedua-dua motosikal ini adalah sekitar Januari atau Februari tahun depan tetapi berdasarkan situasi semasa, ia mungkin datang lebih cepat.