TRIUMPH Speed 400 (2023) Popular Sangat Di India, Tempoh Menunggu Kini 'Makan' Bulan

7/20/20231 min read

SALAH satu model motosikal Triumph yang dikatakan bakal memasuki pasaran tempatan, Triumph Speed 400 (2023) menerima sambutan amat menggalakkan di India - 10,000 unit tempahan selepas kurang 10 hari tempahannya dibuka.

Dan berikutan sambutan hangat yang diterima, ia dilaporkan mengakibatkan pembeli terpaksa menunggu lebih lama sebelum memperoleh motosikal masing-masing, memetik laporan media automotif di India.

Salah satu sumber pengedar tempatan Triumph mendedahkan tempoh menunggu untuk mendapatkan motosikal berkenaan ketika ini adalah sekitar 12 ke 16 minggu atau tiga ke empat bulan.

Sebagai info, Triumph Speed 400 (2023) dan 'kembarnya' yang masih belum diketahui harganya Triumph Scrambler 400 X adalah model yang dihasilkan menerusi kerjasama Triumph dan pengeluar motosikal gergasi India, Bajaj.

Ia adalah model serba baharu siri TR (platform, enjin dan lain-lain) yang pembikinannya sudahpun dimulakan sejak tahun 2017 lagi. Justeru, bukan sesuatu yang pelik produksinya mengalami sedikit kekangan berbanding produk sedia ada.

Begitupun, antara penyebab motosikal ini menerima sambutan hangat adalah disebabkan Triumph menawarkan harga istimewa menarik 223,000 rupee (RM 12,361) selepas diskaun untuk 10,000 pembeli pertama.

Untuk model Triumph Scrambler 400 X pula, sekalipun harganya masih belum diumumkan dan dijangka pada Oktober depan, tetapi tempahan sudah pun boleh dibuat di laman web rasmi Triumph India.

Dan lebih menarik, tempahan untuk kedua-dua model boleh dibuat tanpa kos yang tinggi dan wang boleh dikembalikan semula (bersyarat) secara atas talian menerusi laman web Triumph Motorcycles India dengan kos 2,000 rupee (RM 110) sahaja.

Menurut Triumph, selepas India, motosikal berkenaan akan mula dijual di pasaran antarabangsa, berkemungkinan besar Malaysia pada tahun 2024 yang bukan saja dalam unit CBU (import sepenuhnya) namun termasuk unit pemasangan tempatan (CKD).

Ketika majlis 'kehadiran semula' rasmi Triumph di Malaysia baru-baru ini, wakil Triumph memberitahu pihak MotoDotMy Triumph siri 400 akan menjadi motosikal paling berkuasa dalam segmennya. Tetapi persoalan sama ada harganya 'marhaen' seperti India atau tidak, ia masih teka-teki.